KUALA LUMPUR – Sukan Sea ke-29 merupakan peluang terbaik untuk Malaysia merampas kembali pingat emas  sukan karate dalam acara kumite berpasukan lelaki, sekali gus menamatkan penantian selama 26 tahun untuk mengungguli acara itu. 

Jaguh karate negara, Shaharudin Jamaludin berkata atlet-atlet  negara begitu bersemangat untuk merebut pingat emas acara itu di gelanggang sendiri setelah kali terakhir Malaysia melakukannya pada Sukan Sea 1991 di Filipina.

Atlet berusia 29 tahun yang kembali menyertai skuad kebangsaan untuk temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 selepas empat tahun berehat yakin skuad kebangsaan tidak akan menghampakan negara dan mampu mencipta sejarah.

"Saya mula memburu emas dalam acara ini sejak 2007 tetapi kalah dalam beberapa perlawanan akhir seperti pada 2007 dan 2009, kita (Malaysia) kalah dengan Vietnam, 2011 kita kalah dengan Indonesia dan kalah dengan Thailand pada 2013.

"Jangan biarkan negara lain rampas emas daripada Malaysia. Kita simpan emas yang diperolehi di negara ini,  di tanah air sendiri," katanya kepada Bernama.

Shaharudin berkata, gandingannya dengan atlet kebangsaan yang lain seperti R.Sharmendran, Ravin Vijaya Kumar, Somanroy Arulveeran, M.Arvindran dan Prem Kumar Selvam mampu memberikan kejayaan buat pasukan negara.

Ikon karate negara itu merupakan pemenang pingat emas acara kumite kategori 67 kilogram pada Sukan Sea 2011 di Indonesia.

Beliau juga  memenangi pingat gangsa pada Sukan Sea 2007, 2009 dan 2013 selain meraih beberapa pingat untuk Malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

Acara karate tidak dipertandingkan pada temasya Sukan Sea 2015 di Singapura.

Shaharudin meninggalkan sementara sukan karate kira-kira empat tahun lepas akibat kecederaan bahu untuk mendapatkan rehat dan menunggu kecederaannya cukup pulih.

"Sukan Sea kali ini merupakan 'kemunculan semula' saya selepas kecederaan yang dialami. Saya telah mendapat latihan daripada jurulatih kebangsaan selama dua bulan dan saya sudah bersedia secara fizikal dan mental,” katanya.

Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) menyasarkan enam pingat emas daripada 16 acara yang bakal disertai skuad kebangsaan, dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pencapaian terbaik skuad negara dalam acara karate pada Sukan Sea adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2001 dengan sembilan pingat emas.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAYPYITAW - Berikut corat-coret temasya Sukan SEA ke-27.
  • YANGON - Atlet negara Mohd Faiz Musa dan Nor Khasida Abdul Halim menutup tirai acara angkat berat dengan meraih dua pingat gangsa pada temasya Sukan SEA ke-27 di sini hari ini.
  • NAYPYITAW - Acara karate Sukan SEA Myanmar yang menutup tirai semalam, menampilkan barisan atlet negara berada pada kelas tersendiri apabila membawa pulang tujuh pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.
  • NAYPYITAW - Suasana suram menyelubungi skuad berbasikal negara apabila pelumba Malaysia gagal meraih pingat acara ujian masa individu di sini, hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.