$entry.content.caption.value
LEBIH 600 pasukan berpeluang merebut gelaran Raja Bola Sepak 7 Sebelah 1Malaysia pada Kejohanan Fiesta Bola Sepak 7 Sebelah yang bakal menjelajah seluruh Semenanjung bermula di Stadium Mini Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 26 Februari ini.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kejohanan edisi pertama ini, merupakan medan mencungkil bakat di peringkat akar umbi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dan sekurang-kurangnya ke peringkat negeri.
“Berbekalkan misi ini juga, kami berhasrat untuk menempatkan pemerhati yang akan menilai kebolehan dan kemampuan pemain dalam usaha mengetengahkan mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika Majlis Pelancaran Semangat Bola Sepak Malaysia sempena Fiesta Bola Sepak 7 Sebelah 1Malaysia, di Putrajaya, semalam.
Menurut Sohami, bagi edisi pertama penganjuran, kejohanan dihadkan kepada 64 pasukan terawal berdaftar pada setiap venue pertandingan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM30,000.
Sementara empat pasukan terbaik di setiap negeri layak bertanding ke peringkat Grand Final yang bakal berlangsung di Putrajaya bersempena Sambutan Hari Belia Negara, Mei depan.
Selepas Negeri Sembilan, kejohanan bakal menjejak ke Perak pada 4 Mac, diikuti Johor (18 Mac), Selangor (1 April), Melaka (15 April), Pahang (29 April) Terengganu (6 Mei) dan Perlis 20 Mei).
Maklumat lanjut, peserta berminat boleh menghubungi penganjur di talian 016-9178709 atau 017-3566017.






