PELUANG masih terbuka kepada mana-mana pemain termasuk pemain profesional yang bukan berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengintai tempat mewakili negara pada Piala Thomas 2018 di Nonthaburi, Thailand.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek berkata beliau tidak pernah menutup peluang kepada mana-mana pemain termasuk pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli untuk merebut tempat ke kejohanan berprestij itu, namun harus mengekalkan prestasi cemerlang dalam setiap kejohanan antarabangsa disertainya.

Piala Thomas yang turut dikenali sebagai Kejohanan Badminton Berpasukan Lelaki akan diadakan serentak dengan Piala Uber (Berpasukan Wanita) di Impact Arena, Nonthaburi dari 20 hingga 27 Mei tahun depan.

“Katakan beliau (Zulfadli) diberikan kesempatan (beraksi), saya selaku ketua jurulatih tidak kisah kerana saya akan buka peluang kepada semua pemain, namun saya akan ambil pemain yang betul-betul layak untuk mewakili negara dalam saingan Piala Thomas,” katanya ketika ditemui Bernama di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Misbun menasihatkan Zulfadli untuk mengubah corak permainannya sewaktu beraksi dalam mana-mana kejohanan kerana pendekatan digunakan ketika ini tidak banyak membantu meningkatkan ranking pemain berkenaan yang kini berada pada kedudukan ke-46 dunia.

Sebaliknya, Misbun menjelaskan sudah tiba masanya Zulfadli mencari kaedah baharu yang lebih efektif untuk meningkatkan peluangnya memenangi kejuaraan di pentas antarabangsa.

“Saya nasihatkan beliau, cuba lihat kemajuan yang beliau capai dalam setiap kejohanan disertainya dan memperbaikinya dari semasa ke semasa.

“Kalau sertai banyak kejohanan tetapi ranking hanya setakat itu sahaja, ia tidak membantu kerana kejayaan seseorang pemain itu diukur daripada kemampuan beliau memenangi sesuatu gelaran,” tegas Misbun.

Baru-baru ini, Zulfadli dilaporkan sudah patah hati untuk merebut tempat pada saingan Piala Thomas selepas mendakwa selalu dipinggirkan daripada beraksi walaupun dikatakan layak mengisi tempat selaku pemain perseorangan kedua dan ketiga dalam beberapa edisi sebelum ini. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KETUA Jurulatih Perseorangan Lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tidak menunjukkan tanda keresahan di sebalik kekalahan awal Datuk Lee Chong Wei di Kejohanan Badminton Terbuka Perancis, malam kelmarin.
  • “SETIDAKNYA empat tahun,” ujar ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengulas tempoh masa diperlukan untuk membentuk pemain badminton baharu yang mempunyai kualiti seperti Datuk Lee Chong Wei.
  • PEMAIN perseorangan lelaki, Lee Zii Jia mahu membuktikan beliau mampu menghadirkan kilauan pingat walaupun tidak diletakkan sebarang sasaran pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos depan.
  • JAGUH badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui corak latihan yang diterapkan jurulatih baharu perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek menghasilkan kesan positif kepada dirinya.