TUMPUAN utama saingan minggu ketiga Sepaktakraw League (STL) Premier yang menutup tirai pada Ahad lalu di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)  terarah kepada kejayaan Terengganu Turtles menjelmakan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Perak Bison 2-1.

Ia menyaksikan regu bimbingan Rosmadi Abdul Ghani mengekalkan momentum kemenangan setelah mudah menewaskan Kuala Lumpur Thunder sehari sebelumnya.

Kuala Lumpur Thunder gagal menepati ramalan menguasai apabila tergelincir ke tangga keenam carta selepas tamat minggu ketiga STL 2017.

Begitu pun, ia tidak memadai untuk pasukan dari pantai timur itu  terus merajai carta liga sebaliknya juara bertahan Penang Black Panthers merampas semula kedudukan pendahulu berikutan dua kemenangan ke atas ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder.

Dua pasukan itu terus unggul bersaing di kedudukan teratas dengan mengumpul 10 mata hasil lima kemenangan daripada enam perlawanan.

Thunder tenggelam

DALAM pada itu, dua kekalahan dialami Kuala Lumpur Thunder menyaksikan mereka tergelincir ke tangga keenam carta liga.

Regu bimbingan Azhar Sarabini itu pada awalnya disebut mampu menggugat penguasaan dua pasukan pendahulu setelah cemerlang pada minggu terdahulu namun gagal menepati ramalan tersebut apabila tewas mudah dalam kedua-dua perlawanan.  

Warriors bangkit

KELANTAN  Warriors yang tewas kedua-dua aksi minggu sebelumnya bangkit melakar dua kemenangan yang membolehkan mereka melonjak dari tangga ketujuh ke tangga keempat.

Pemain Kelantan Warriors, Wan Naim Izani Wan Noor meraikan mata ketika berdepan Selangor Pistons.

Pasukan  bimbingan Faqimi Idris itu memulakan kebangkitan dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0 sebelum menutup tirai dengan menundukkan Johor Tigris juga dengan keputusan 2-0.

Kelantan Warriors kali ini mempertaruhkan kelibat Hisyam Mat, Aiman Azwawi, Naim Izani Noor di kedua-dua perlawanan.

Tigris, Pistons hambar

BAGI  Johor  Tigris,  ia adalah satu lagi minggu yang mahu dilupakan setelah turut kecundang kepada Perak Bison sekali gus mengalami kekalahan kelima berturut-turut seterusnya kekal menghuni kedudukan tercorot.

Johor Tigris mengalami kekalahan kelima berturutturut kekal menghuni kedudukan tercorot.

Selangor Pistons turut mengharungi minggu yang kurang menjadi setelah tewas kedua-dua perlawanan.

Selain Kelantan Warriors, mereka juga kecundang kepada ATM Guardians pada aksi terakhir minggu ketiga.

Selain kerancakan aksi di dalam gelanggang, kecederaan beberapa pemain utama antaranya Fadzli Roslan (Terengganu Turtles), Zamree Dahan (Johor Tigris) dan Amirul Ramdhan Suhaimi (Perak Bison) antara yang turut menjadi perhatian.

Penang Black Panthers kembali menguasai carta STL 2017 selepas berakhirnya saingan minggu ketiga.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TERENGGANU Turtles merampas kedudukan pendahulu Divisyen Premier daripada juara bertahan, Penang Black Panthers selepas berakhir minggu kedua Sepak Takraw League 2017 (STL).
  • LIGA Sepak Takraw (STL) kembali lagi bagi musim keempat mulai 29 September ini di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor dengan beberapa ciri format baharu saingan ditampilkan menerusi pengenalan Piala Juara-juara STL.
  • PERAK The Bos Gaurus muncul pasukan pertama yang dinaikkan ke Divisyen Perdana 2017 apabila mudah menundukkan Selangor 21-9, 21-13 dalam separuh akhir Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) 2016 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, semalam.
  • JURULATIH Kuala Lumpur Thunder, Azhar Sarabini mempersoalkan keberkesanan sistem semakan video bagi keputusan pengadil sehingga meragut tiket separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) 2016 mereka yang sepatutnya lebih awal digenggam kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.