PASANGAN penerjun wanita negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, awal hari ini.

Gandingan negara itu, yang merupakan pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengumpul 328.74 mata pada hari ketiga kejohanan.

Pasangan pilihan dari China, Ren Qian dan Si Yajie meraih emas dengan 352.56 mata manakala pihak pingat perak menjadi milik pasangan Korea Utara, Kim Mi Rae dan Kim Kuk Hyang yang mengumpul 336.48 mata.

Pandelela dan Jun Hoong mempamerkan terjunan konsisten pada dua terjunan awal apabila mengumpul 106.80 mata untuk berada di ranking pertama sebelum gandingan China dan Korea bangkit untuk memintas pada terjunan ketiga.

Pada dua terjunan terakhir, pasangan negara mengutip 76.84 dan 76.80 mata untuk menghadiahkan pingat pertama buat kem Malaysia pada kejohanan dunia itu.

"Kami sangat gembira dan bersyukur kerana pingat gangsa ini adalah hasil daripada pengorbanan dan usaha gigih kami selama ini. Kami sangat bangga kerana dapat melakukan yang terbaik pada pusingan final.

“Kami berpuas hati dengan pencapaian ini. Selama ini, kami rasa bertuah kerana menjadi antara atlet terbaik dalam negara dan kami tidak akan berputus asa malah akan terus memperbaiki prestasi kami,”kata pasangan negara itu seperti dipetik dalam laman rasmi kejohanan dunia itu.

Esok, kedua-dua penerjun itu akan bersaing dalam acara 10m platform individu manakala  penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri akan berganding dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal seirama.

Pada Khamis ini, Nur Dhabitah dan Wendy Ng akan bersaing dalam acara individu 3m papan anjal. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENERJUN elit kebangsaan, Cheong Jun Hoong melakar sejarah menjadi atlet Malaysia pertama meraih pingat emas pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary, semalam.
  • PRESTASI cemerlang yang ditonjolkan penerjun negara Cheong Jun Hoong di Kejohanan Akuatik Dunia FINA menambah peluang buat sukan terjun mengumpul lebih banyak pingat pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
  • PENERJUN negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri gagal melepasi saingan separuh akhir acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Guangzhou, China, semalam.
  • PASANGAN penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat gangsa pada pusingan kedua kejohanan Terjun Siri Dunia FINA yang berlangsung di Guangzhou, China hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.