PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memperuntukkan 28,000 keping tiket bagi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2018 antara pasukan Pahang menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Setiausaha Agung PBNP, Norlia Abdul Manaf berkata, peminat boleh mendapatkan tiket tersebut yang akan mula dijual pada hari perlawanan.

Menurutnya, hanya kaunter di banglo pekarangan stadium dijual bermula jam 9.30 pagi.

"Kaunter di pintu masuk 10, tiket akan mula dijual bermula jam 2.30 petang pada hari tersebut.

"Terdapat 16 lagi pintu stadium akan mula dibuka bermula jam 6.30 petang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta penyokong memasuki stadium mengikut nombor pintu masuk yang tertera pada tiket masing-masing.

"PBNP berharap perlawanan akan berjalan dengan lancar dan penyokong mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Penyokong kedua-dua pasukan diminta tidak membawa bahan terlarang dan menjaga disiplin masing-masing," tegasnya.

Harga tiket dijual RM10 untuk terbuka, RM13 (berbumbung) dan RM23 bagi pentas utama.