KUANTAN - Acara sukan berbasikal lasak Pahang Bicycle Mania 2012 anjuran kerajaan negeri Pahang dan pihak swasta kini kembali lagi setelah penganjurannya pada tahun lepas mendapat sambutan hangat ribuan peminat sukan berbasikal dari seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian  dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal  Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata sebanyak dua pertandingan berbasikal akan diadakan pada bulan ini iaitu sukan berbasikal extreme BMX dan papan luncur serta perlumbaan basikal bukit.

"Bagi acara berbasikal extreme BMX dan papan luncur, ia akan diadakan pada 18 Feb ini di Teluk Cempedak dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.

"Manakala acara perlumbaan basikal bukit pada 26 Feb ini pula hanya terbuka kepada peminat basikal lasak peringkat amatur sahaja dan pertandingan bertempat di trek basikal Taman Bandar Mountain Bike Criterium, Indera Mahkota," katanya.

Katanya pertandingan itu terbahagi kepada tiga kategori  iaitu terbuka lelaki veteran (40 tahun dan ke atas), terbuka wanita (18 tahun dan ke atas) dan terbuka lelaki (18 hingga 39 tahun).
    
Pendaftaran adalah pada 25 Feb ini di kedai basikal Rahim Le Tua, Bandar Indera Mahkota bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang dan yuran penyertaan RM15 bagi setiap kategori.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 30 jaket keselamatan sumbangan  pihak swasta kepada anggota polis yang telah membantu melicinkan pelbagai acara berbasikal  di negeri itu tahun lepas, di Ibu Pejabat Polis kontinjen Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Cawangan Khas Pahang, SAC Datuk Riduan Hashim.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri mahu lebih banyak acara sukan berbasikal dianjurkan di setiap daerah di negeri itu bagi mempromosikan sukan itu sebagai gaya hidup.

"Ia juga sekaligus dapat memperkenalkan tarikan pelancongan di daerah-daerah berkenaan kepada orang luar yang menyertai sukan tersebut, selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang memilih basikal sebagai ikon pelancongan negeri.

"Selain membangkitkan kembali nostalgia lampau berbasikal juga dapat mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, dengan kos yang lebih murah dan mengeratkan hubungan kekeluargaan," katanya. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.