PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) bersedia untuk membela atletnya, Firdaus Abdul Razak, jika atlet berusia 24 tahun itu dapat membuktikan beliau dipaksa mengambil dadah steroid jenis Drotanolone Metabolite ketika beraksi pada temasya Sukan Sea Indonesia, November lalu.
Kelmarin, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat pengesahan rasmi bahawa atlet negara yang memenangi pingat gangsa itu didapati positif pada ujian penentuan sample B, oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Indonesia.
Presiden PABM, Zafarul Akhbar Kassim berkata, persatuan juga bersedia untuk berbincang dengan Persekutuan Angkat Berat Dunia bagi meringankan hukuman, jika Firdaus dapat membuktikan bahawa beliau dipaksa atau dianiaya untuk mengambil dadah itu.
“Namun jika Firdaus didapati bersalah, kita tidak akan bertolak ansur dan mengambil tindakan yang sewajarnya seperti yang telah digariskan oleh Agensi Anti Dadah Dunia sebagai pengajaran kepada atlet yang lain,” katanya.
Zafarul berkata, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut dan Firdaus akan menjadi orang pertama yang dipanggil memberi keterangan minggu hadapan.
PABM sedia bela Firdaus dipaksa ambil dadah
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.






