KUMPULAN One Trilion mencipta kejutan apabila muncul juara edisi sulung kategori lelaki terbuka pertandingan BDB Rafting Kulim 2017 di Sungai Sedim, kelmarin, lapor AFDAH M.

Tampil selaku bukan pilihan, pasukan diketuai oleh Amran Abdul Rahman itu berjaya menewaskan 14 pencabar lain selepas menamatkan perlumbaan sejauh 600 meter dengan catatan masa keseluruhan 1 minit 54.450 saat.

BDB Rafting Kulim adalah siri terakhir BDB Triple Challenge 2017 selepas BDB Climb & Run Langkawi pada 22 April dan BDB Extreme di Jitra, September lalu.

Pengurus pasukan, Mohd Idham Hatta Abdul Rahman berkata kemenangan mereka tidak dijangka memandangkan penyertaan kali ini adalah sekadar suka-suka.

"Pasukan ini dibentuk sejak 2012 lagi. Tapi, ini kali pertama kami menang pertandingan kompetitif atas nama One Trilion.

"Sebelum ini, ahli lain memang aktif memasuki mana-mana pertandingan white water rafting, tapi dengan pasukan lain.

"Termasuk juga beberapa pertandingan di Sungai Sedim sebelum ini. Jadi pasukan kami sudah ada pengalaman, tapi untuk aksi kompetitif agak terbatas kerana faktor umur.

"Apa pun, kemenangan hari ini (kelmarin) adalah satu bonus buat kami atas kerja keras beberapa bulan sebelum hari pertandingan," katanya.

Selaku pemenang, One Trilion membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan dan medal sementara  tempat kedua diraih kumpulan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari Gopeng, Perak manakala ketiga milik pasukan Libang juga dari Gopeng.

Bagi kategori campuran pasukan Radak Adventure muncul juara selepas mengalahkan pasukan BGA manakala KSRS di tempat ketiga.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :