PENGENDALI skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee optimis pasukannya mampu berada di tahap terbaik sebelum berlepas ke Korea Selatan sebagai persiapan terakhir menghadapi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, Januari depan.

Kim Swee berkata, segala perancangan latihan yang bermula sejak dua minggu lalu, berjalan lancar selain semakin hampir mencapai sasaran utama kem latihan pusat tersebut menumpukan kepada aspek kecergasan dan corak permainan.

“Daripada hari pertama sehingga hari ini, segala perancangan berada dalam keadaan cukup baik di mana saya lihat pemain berusaha dengan gigih dan ini minggu terakhir sebelum kita berlepas ke Korea Selatan.

“Saya berharap baki tiga hari yang ada ini, kita mampu mencapai sasaran kita inginkan dari segi kecergasan dan juga sistem permainan. Sudah tentu pada minggu depan ketika di Korea Selatan kita akan meneruskan latihan dan memperbaiki segala kelemahan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sesi latihan pusat skuad B-22 negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Kim Swee ternyata berpuas hati dengan prestasi dipamerkan kesemua pemain dari skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, yang turut dipanggil menyertai kem latihan pusat tersebut.

“Mereka (pemain B-19) berusaha begitu gigih dan saya nampak pemain-pemain ini ingin menunjukkan sesuatu agar terpilih. Namun sehingga kini saya masih belum membuat sebarang keputusan tetapi berdasarkan apa ditunjukkan mereka, saya yakin mereka mampu bersama skuad ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee memaklumkan hanya pemain tengah Danial Ashraf Abdullah dan pemain pertahanan Adam Nor Azlin, yang kini bergelut dengan kecederaan.

“Danial mengalami kecederaan belakang agak serius dan Adam pula mengalami kecederaan biasa yang saya rasa dalam beberapa hari mampu pulih sepenuhnya sementara yang lain semua berada dalam keadaan cukup baik,” katanya.

Skuad negara akan menentang Melaka United Khamis ini, untuk aksi persahabatan terakhir sebelum berlepas ke Korea Selatan pada Sabtu. – Bernama