KOTA BHARU - Bekas penyerang import Kelantan tahun 2013, Dickson Nwakaeme melahirkan simpati terhadap nasib Mohd Badhri Radzi setelah khidmat rakannya itu tidak lagi diperlukan skuad pantai timur.

Dipetik menerusi video di Instagram, Nwakaeme berkata, dia tidak gembira apabila mendapat tahu bekas kapten The Red Warriors itu meninggalkan pasukan berkenaan sebelum pertengahan musim ini.

“Selamat maju jaya kepada Piya (Mohd Badhri) dan saya berharap dia gembira dengan apa sahaja pilihan dia untuk teruskan kariernya. Dia terkeluar kerana mereka (Persatuan Bola Sepak Kelantan) mahukan pemain muda.

“Saya tahu Piya okey, dia adalah pemain legenda kerana memilih untuk kekal bersama kelab (Kelantan) dan berjuang demi lencana di dada,” katanya.

Nwakaeme yang mendapat jolokan ‘Orang Besi’ sepanjang beraksi dalam Liga Malaysia membentuk gandingan ideal bersama Mohd Badhri ketika mewakili Kelantan pada musim 2013 sebelum menyertai Pahang (2014-2015).

Ketika bersama TRW, dia berjaya mencetak 13 gol dalam empat pertandingan termasuk Piala AFC selain membantu pasukannya merangkul kejuaraan Piala FA namun gagal pertahankan Piala Malaysia setelah tewas kepada Pahang.

Menurut pemain kelahiran Nigeria itu, dia masih ingat jeneral padang berusia 26 tahun itu sanggup menolak tawaran berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana mahu berbakti bersama pasukan negeri kelahiran sendiri.

“Saya juga tidak gembira apabila penjaga gol nombor satu (Khairul Fahmi Che Mat) mengakhiri kontraknya. Selamat maju jaya semua pemain legenda, anda tidak pernah mati,” katanya.

Dalam perkongsian itu, bekas penyerang Angers SCO dalam Liga Pertama Perancis itu bersetuju dengan keperluan sesebuah pasukan menggunakan pemain muda namun dalam masa sama menegaskan tidak boleh ketepikan sumbangan tonggak senior.

“Tentunya baik mempunyai pemain muda tetapi pemain lama juga diperlukan membimbing mereka. Pemain muda perlu belajar daripada pemain senior untuk menjadi sebuah pasukan yang bagus,” katanya.