PELUMBA kebangsaan yang meningkat naik, Nur Aisyah Mohamad Zubir melakar sejarah Sukan Malaysia (Sukma) selepas muncul satu-satunya pelumba basikal wanita yang menggondol pingat emas hatrik dalam tiga edisi berturut sejak Sukma 2014 di Perlis.

Pada aksi Sukma Perak 2018 yang berlangsung di Arena Square, Batu Kurau di sini, Nur Aisyah mempamerkan tunggangan bertenaga dalam kategori ujian masa individu (lebuhraya) apabila mencatat masa terpantas 44 minit 57.316 saat sekali gus meraih emas pertama buat kontinjen Terengganu.

Lebih manis, rakan sepasukan Nur Aisyah, Nurul Najihah Inani A. Aziz meraih pingat perak selepas mencatat masa kedua terpantas dengan 47:30.954s manakala gangsa menjadi milik pelumba dari Wilayah Persekutuan menerusi Yeong Zhen Yi yang melakukan catatan masa 49:29.641s.

“Saya berharap rekod yang dicipta ini dapat membuka mata pelbagai pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN) sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada saya untuk beraksi mewakili skuad kebangsaan di peringkat yang lebih tinggi.

“Bukan mudah untuk saya berada pada prestasi terbaik ini. Saya berusaha keras menjalani latihan intensif siang dan malam selama sebulan dalam memastikan saya betul-betul bersedia. Ternyata pengorbanan ini amat berbaloi,” kata Nur Aisyah kepada Bernama.

Sebagai rekod, pada Sukma 2016 di Kuching, Sarawak, Nur Aisyah mendominasi lima emas menerusi acara ujian masa individu dan berpasukan, lepas beramai-ramai individu dan berpasukan serta kriterium.

Nur Aisyah menyasarkan untuk memperbaiki kutipan pingat emas pada edisi lepas dan yakin untuk meraih tujuh emas pada Sukma edisi ke-19 kali ini.- Bernama