ATLET berbasikal Terengganu, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, 21, mengharumkan nama negeri selaku tuan rumah apabila muncul juara kategori utama De' Perasing Ride@Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang disertai seramai 1,300 pelumba dan menawarkan hadiah berjumlah RM52,000.

Dengan catatan masa terpantas 1 jam 53 minit dan 16 saat, pelumba dari Kelab Sapura itu mengungguli kategori terbuka lelaki bagi cabaran road bike 90 kilometer (km).

Menerusi kemenangan itu, Mohamad Nur Aiman yang tiba ke garisan penamat lebih awal 44 saat dari pencabarnya, Mohd Hariff Salleh menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.

Dengan catatan masa 1 jam 54 minit pula, Mohd Harrif dari Kelab TSG muncul naib juara dan merangkul wang tunai RM1,200 manakala tempat ketiga dimenangi pelumba dari Kelab GRCC, Muhammad Farid Razali dengan catatan masa 1 jam 54 minit 41 saat dan memperoleh habuan RM1,000.

Peserta dilepaskan di R&R Perasing.

Mohamad Nur Aiman berkata, De' Perasing Ride@LPT2 itu membantunya meningkatkan prestasi kayuhan kerana bercita-cita mahu menyertai Sukan Olimpik 2020.

"Kayuhan basikal di lebuh raya ini beri cabaran besar kepada saya kerana ramai pelumba-pelumba basikal ternama termasuk Anuar Manan turut menyertai kejohanan ini.

"Saya berpuas hati dengan catatan masa yang direkodkan. Ia hasil latihan berterusan, namun saya akan teruskan tingkatkan lagi prestasi pada masa akan datang," katanya selepas menerima hadiah pada kejohanan itu semalam.

De' Perasing Ride@LPT2 yang dianjurkan LPT2 Sdn Bhd mengetengahkan tiga kategori utama iaitu road bike, mountain bike sejauh 50 km dan VIP (kenamaan) fun ride sejauh 5 km.

Kategori road bike dipecahkan pula kepada tujuh kategori kecil iaitu terbuka lelaki, junior lelaki, lelaki master, veteran lelaki, otai lelaki, terbuka wanita dan pasukan terbaik.

Mountain bike pula terbahagi kepada lima kategori iaitu terbuka lelaki, lelaki master, veteran lelaki, veteran lelaki, 'heavyweight' dan pasukan terbaik.

Acara pelepasan kesemua peserta di tapak program di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing disempurnakan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri juga menyertai kayuhan sejauh 5 km bagi kategori VIP bersama Pengarah Eksekutif LPT2 Sdn Bhd, Datuk Azman Ismail.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pula disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam pada itu, juara kategori otai lelaki mountain bike, Gary Choong Kin Wah, 61, berkata, kejuaraan itu adalah pencapaian paling membanggakan bagi dirinya yang aktif dalam sukan berbasikal sejak hampir 40 tahun lalu.

Menurut jurulatih kelab basikal dari Putrajaya itu, usahanya memecut pada saat-saat akhir membuahkan kejayaan dengan kejuaraan yang berjaya direbut itu.

"Biasanya dalam banyak kejohanan, saya cuma menang tempat ketiga atay keempat tapi kali ini tak sangka peroleh gelaran juara dan bawa pulang hadiah wang RM800.

"Saya bernasib baik kerana beberapa km sebelum garisan penamat, saya dapat peluang celah ke depan dan pecut," katanya.

Kelab TSG muncul juara pasukan terbaik road bike sekali gus memenangi RM5,000

Katanya, cabaran utama terpaksa dilaluinya adalah terpaksa bersaing bersama orang muda untuk pergi ke depan kerana acara pelepasan dilakukan dalam jarak masa yang agak singkat.

"Ramai atlet terkenal dan pelumba lagend sertai acara kayuhan ini jadi bukan mudah untuk saya menang," katanya yang menyudahkan kayuhan dengan masa 1 jam 26 minit dan 24 saat.

De' Perasing Ride@LPT2 yang turut disertai pelumba dari Singapura dan Thailand selain seluruh Malaysia dianjurkan bersama kerajaan negeri dan disokong Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Sementara itu, Azman berkata, acara kayuhan itu dianjurkan bagi memeriahkan kalendar pelancongan tahunan kerajaan negeri serta mempromosikan R&R Perasing sebagai salah satu hentian rehat di LPT2.

"Acara kayuhan ini pertama kali kita anjurkan pada tahun lalu dan ia masuk edisi kedua tahun ini," katanya lagi.