PEMAIN muda golf Thailand, Nitithorn Thippong mensasarkan Order of Merit Jelajah Pembangunan Asia (ADT) apabila  menyertai Kejohanan MIDF Profesional Golf Malaysia (PGM) di Kota Seriemas Golf and Country Club, Nilai, hari ini.

Nitithorn, 22, berada di tangga kedua dalam ranking merit dengan mengumpul  AS$32,514 (kira-kira RM135,011) masih meneruskan usahanya untuk merebut gelaran Order of Merit yang mana ADT sudah hampir ke penghujung musim.

Jika beliau memenangi RM225,000 (kira-kira AS$58,000) penghujung minggu ini, ia akan membantu beliau mendapatkan balik tempat teratas, yang didudukinya dengan selesa buat 13 minggu berturut-turut   berikutan  kejayaan cemerlangnya pada Mei lalu, mengatasi Miguel Carballo dari Argentina  yang mendahului  dengan  AS$7,569 (kira-kira RM31,429).

Bagaimanapun, Nitithorn akan dicabar Carballo, Johnson Poh dari Singapura, Mathiam Keyser dari Afrika Selatan dan Josh Salah dari Amerika Syarikat, kesemuanya berada dalam senarai tujuh teratas  kutipan  ganjaran wang.

“Saya tidak bermain baik sebagaimana saya mahukan minggu lalu, tetapi saya mampu menamatkan di tempat ke-15. Di padang golf  ini, anda mesti bijak dalam membuat pukulan kerana ada banyak “short holes” yang mudah untuk memukul bola memasuki lubang.

"Saya hanya mahu mempersembahkan permainan terbaik dan berseronok dalam permainan golf saya dan tidak terlalu mengharapkan sangat daripada diri saya,” kata Nitithorn yang mendapat satu kemenangan dan tujuh  kedudukan 10 teratas setakat musim ini.

Berbaki tiga lagi acara untuk musim 2018, pemain golf perlu mempamerkan prestasi yang baik untuk mendapat tempat tujuh teratas dalam final Order of Merit untuk mendapatkan hak beraksi dalam Jelajah Asia tahun hadapan. - Bernama