PEMAIN tengah Harimau Malaya, Nik Akif Syahiran Nik Mat bersedia berdepan dengan corak permainan pantas yang bakal disajikan barisan pemain Kemboja menjelang perlawanan persahabatan di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh malam ini.

Ujarnya, berdasarkan pemahaman dari rakan sepasukan, lawan yang bakal ditentang kali ini menggunakan kepantasan larian selain beraksi di atas padang tiruan memberi sedikit kesukaran buat dirinya.

"Aksi kali ini berbeza kerana saya difahamkan Kemboja gemar mempamerkan corak permainan pantas, beraksi di atas padang tiruan memberi kelebihan buat mereka selain dihadapan penyokong sendiri.

"Tetapi saya dan rakan sepasukan kini bersedia sepenuhnya untuk memastikan Harimau Malaya melakar keputusan positif," jelasnya yang kini dilihat antara prospek pemain muda berpotensi.

Mewakili Kelantan dalam saingan Liga Malaysia, Nik Aktif mengakui beberapa kelemahan dan kekurangan yang dipamerkan pada aksi menentang Taiwan, Jumaat lalu akan diperbaiki.

"Hantaran tidak sampai, pertahanan ketika diasak dan memastikan bola sentiasa berada dalam kawalan antara beberapa kesilapan yang dilakukan pada aksi sebelum ini dan untuk kali ini saya harapkan tiada lagi kesilapan-kesilapan seumpama ini berlaku," tegasnya.

Skuad kebangsaan kini berada di rangking ke 171 dunia manakala Kemboja yang dibimbing bintang Jepun, Keisuka Honda (166) dan dalam 14 pertembungan sebelum ini Harimau Malaya mencatat 11 kemenangan dimana kali terakhir menewaskan Kemboja, 3-2 pada aksi AFF 2016.