RATU skuasy negara Datuk Nicol Ann David mempamerkan aksi cemerlang dengan menempatkan diri dalam kalangan lapan pemain terbaik selepas mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Skuasy Dunia 2017 di Manchester, England, semalam (awal pagi waktu Malaysia).

Menurut lawan sesawang kejohanan itu, www.psaworldtour.com, pemain pilihan keenam kejohanan itu hanya memerlukan masa 33 minit untuk menewaskan pencabarnya Annie Au dari Hong Kong dengan 11-7, 11-3, 10-12 dan 11-6 pada aksi pusingan kedua.

Dalam usaha merangkul gelarannya buat kali kesembilan itu, Nicol akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari Mesir, Raneem El Welily.

Raneem menempah tempat ke pusingan suku akhir selepas menumpaskan pemain tuan rumah, Victoria Lust, dengan 11-5, 15-13, 11-13 dan 11-5 dalam aksi yang berlangsung selama 42 minit.

Sementara itu, juara bertahan yang juga merupakan pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini dari Mesir, turut mara ke pusingan suku akhir selepas mudah menewaskan Satomi Watanabe daripada Jepun dengan 11-6, 11-5 dan 11-5 dalam masa 23 minit.

Untuk rekod, Nicol menjuarai kejohanan dunia sebanyak lapan kali iaitu pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014. – Bernama