RATU Skuasy Malaysia, Datuk Nicol David layak ke final kejuaran skuasy  Siri Dunia PSA Dubai 2016/17 yang akan berlangsung di Opera Dubai, Emiriah Arab Bersatu, Jun ini  selepas muncul sebagai lapan pemain teratas dalam kedudukan Road to Dubai.

Pemain berusia 33 tahun dari Pulau Pinang itu berada pada kedudukan keenam selepas memungut 155 mata untuk layak ke acara itu yang akan berlangsung dari 6 hingga 10 Jun ini, menurut laman sesawang Persatuan Skuasy Profesional (PSA),  www.psaworldtour.com.

Pemain wanita lain yang bakal beraksi di kejohanan yang menawarkan hadiah US$160,000 (RM705,747) itu adalah pemanin nombor satu dunia, Camille Serme dari Perancis; pasangan pemain England, Laura Massaro dan Sarah-Jane Perry; pemain Amerika Syarikat, Amanda Sobhy; selain tiga pemain Mesir, Juara Dunia semasa Nour El Sherbini, pemain nombor empat dunia, Raneem El Welily dan juga pemain nombor lima dunia, Nouran Gohar.

Dalam bahagian lelaki, Juara Dunia dari Mesir Karim Abdel Gawad yang bakal dimahkotakan sebagai pemain nombor satu dunia yang baharu pada 1 Mei ini berikutan kecemerlangannya pada musim ini, akan dicabar tujuh peserta lain.

Mereka adalah Juara Bertahan Final Siri Dunia, Gregory Gaultier dari Perancis; adik beradik El Shorbagy - Marwan dan Mohamed serta Ramy Ashour (ketiga-tiganya dari Mesir); pasangan England,  Nick Matthew dan James Willstrop serta pemain Jerman,  Simon Rosner.

Lapan pemain teratas dalam kategori lelaki dan wanita layak ke kejuaraan Final Siri Dunia PSA selepas berakhirnya Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna yang berlangsung di Mesir, minggu lepas. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.