nicol david squash

CANBERRA - Juara bertahan Datuk Nicol David memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Australia buat kali kedua berturut-turut selepas menumpaskan Laura Massaro pada perlawanan akhir di Royal Theatre di sini, hari ini.

Dalam saingan akhir tersebut, ratu skuasy negara berjaya mengenepikan cabaran pemain England itu 17-15, 11-2, 11-6 untuk merangkul kejuaraan ke-62
buat dirinya.

Beraksi di hadapan legenda skuasy Heather McKay dan bekas pemain terbaik dunia, Vicki Cardwell dan Michelle Martin, Nicol menunjukkan mengapa dia
dianggap pemain terhebat dunia sepanjang satu dekad ini apabila berjaya menyerap cabaran untuk menumpaskan Massaro.

Bercakap kepada pemberita di sini, Nicol berkata beliau gembira kerana dapat memenangi perlawanan tersebut dalam tiga set.  

"Set pertama menguji mental dan fizikal saya. Pada set kedua saya berjaya mendapat rentak permainan dan seterusnya memenangi perlawanan tersebut dalam saingan tiga set," kata Nicol.

Massaro pula berkata, beliau tidak melakukan kesilapan pada set pertama.

"Cuma, saya tidak bernasib baik pada set pertama. Kekalahan pada set pertama menjejaskan tumpuan saya pada set kedua dan ketiga," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.