MESYUARAT Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan diadakan minggu hadapan bagi membincang dan memutuskan nasib Jurulatih Kedah, Ramon Marcote berhubung prestasi pasukan yang hambar musim ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, buat masa ini Marcote diminta membela diri dan memberi laporan penuh prestasi pasukan bimbingannya itu supaya sebarang keputusan yang diambil tidak berat sebelah dan adil bagi kedua belah pihak.

“Mesyuarat itu kita akan adakan secepat mungkin sebab ini penting memandangkan prestasi pasukan terumbang-ambing...dalam mesyuarat itu kita akan putuskan beberapa keputusan

Kita serius dalam hal ini dan jika ada tindakan yang drastik perlu kita buat, kita akan putuskan” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pam Air Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Wang Tepus, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Kamajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Zon Utara, Aizal Mazlan dan Eksekutif Kanan Jabatan Pembangunan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd  (Sada), Helmi Mohamad Jusoh.

Aminuddin yang juga Pengerusi  Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan  Bukan  Kerajaan Kedah berkata, prestasi yang tidak konsisten ditunjukkan Kedah setakat ini menyebabkan pasukan itu terlepas dua piala utama iaitu Piala Sumbangsih dan Piala FA serta jatuh ke kedudukan ketujuh dalam Liga Super  sehingga mendapat kritikan peminat serta kelab penyokong Kedah.

 “Saya juga telah bertemu dengan pihak penaja utama pasukan, Pengarah ECK Development Sdn Bhd, Puan Seri Ginney Chew hari ini membincangkan hal tersebut sebelum ia dibawa ke dalam mesyuarat tersebut nanti,” katanya.

Menyentuh projek pam air berkenaan, sebanyak RM325,000 diperuntukkan oleh KKLW bagi membina pam air tersebut November tahun lepas dalam usaha menyelesaikan masalah tekanan air  rendah membabitkan 83 buah keluarga  di kampung berkenaan. - Bernama