NAFAS baharu diperlukan dalam kepimpinan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) penggal 2018-2022 selepas mereka membayangkan cita-cita selepas ini adalah di peringkat Asia.

Perkara tersebut didedahkan Exco Sukan dan Belia Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris yang mengakui bukan satu tugas mudah buat jawatankuasa baharu yang bakal diketahui pada petang esok di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menang tanpa bertanding jawatan presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Abdul Rahman Abdullah juga menang tanpa bertanding timbalan presiden pastinya mengalas harapan besar seluruh penyokong Hijau Kuning untuk melihat pasukan tersebut kembali digeruni.

Lima calon yang bertanding jawatan naib presiden dan 24 calon ahli jawatankuasa eksekutif sudah tentu sedia maklum apa yang perlu dilakukan untuk membantu presiden dan timbalan presiden jika diberikan mandat untuk empat tahun akan datang.

Bagi Mukhriz sendiri, beliau sudah mempunyai pengalaman mengetuai KFA pada 2013-2016 dan berjaya membawa Kedah kembali ke persada liga super pada 2016 selepas beraksi di saingan Liga Perdana selama tiga musim.

Perancangannya yang memberi fokus kepada pembangunan akar umbi membuahkan hasil apabila ramai pemain muda berbakat berjaya dilahirkan sebelum legasi itu diteruskan oleh penggantinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 2016-2018.

Dalam tempoh tersebut itu juga, beberapa piala berjaya dibawa pulang ke Alor Setar antaranya Piala Perdana pada 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017, Piala Sumbangsih Sultan Haji Ahmad Shah 2017 serta Piala Belia 2017.    

Selepas kembalinya Mukhriz ke pangkuan persatuan ini, rata-rata penyokong percaya menteri besar itu akan berusaha mengembalikan aura Hijau Kuning selepas pada musim 2018, harapan untuk melihat Kedah meraih trofi hanya kini terarah kepada saingan Piala Malaysia sahaja termasuk Piala Presiden dan Piala Belia di peringkat pasukan pembangunan.

Jika benar Asia menjadi sasaran, sudah tentu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan selepas melihat prestasi Hijau Kuning serba tidak kena walaupun harapan untuk melihat skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusof merebut naib juara liga super masih ada.

Biarpun nafas baharu diperlukan oleh KFA, namun beberapa kejayaan dan pembaharuan dibuat sepanjang 2014-2018 masih boleh diteruskan antaranya memperkenalkan kad bermusim berteknologi tinggi.

KFA juga berjaya mewujudkan sukarelawan dari kelab peminat membantu mereka membabitkan perlawanan di Stadium Darul Aman dan menjalin kerjasama serta mendapat khidmat nasihat dari SPRM berhubung pengurusan tiket yang menjadi kontroversi sebelum ini.

Selain itu, nafas baharu yang turut dimahukan oleh penyokong adalah untuk melihat semua Exco yang dilantik telus dan tulus memberikan khidmat sebaik mungkin dan bukan sekadar untuk menjadi penumpang sahaja sehingga 2022.

Kepada semua 36 badan gabungan KFA, andalah yang akan menentukan hala tuju persatuan selepas ini dalam memilih 3 dari 5 calon bagi jawatan naib presiden dan 8  dari 24 calon bagi jawatan ahli eksekutif. Selamat memilih!

HARAPAN KELAB PENYOKONG PADA KONGRES KFA KALI KE-43


Dari kiri, Mohammad Firdaus, Mohd Safarizal, Fazli dan Mohammad Adhan

“Pilihlah calon-calon yang berkaliber dan mampu mengubah serta meningkatkan lagi mutu bola sepak negeri Kedah. Tolak kepentingan diri dahulu demi kepentingan bola sepak kita,” Presiden  Hijau Kuning Fans Club (HKFC Kedah), Mohammad Firdaus Azi

“Barisan Exco baharu mestilah yang mempunyai kemahiran dalam menerajui portfolio yang akan ditugaskan. Kami tidak mahu dengar lagi kontroversi seperti ketirisan dalam mendapatkan Lesen AFC pada tahun lalu. Kami mahukan Exco yang boleh membuat kerja bukan yang hanya pandai memberi seribu alasan,” Pengerusi Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri

“Kami tidak mahu ada Exco yang menumpang di dalam Majlis Eksekutif KFA penggal 2018-2022 ini. Jika mahu lihat Kedah pergi jauh di dalam sukan bola sepak ini, pilih calon yang berkaliber dan berpandangan luas dalam sukan ini,” Presiden Peminat Bolasepak Kedah (PBK), Fazli Mansor

“Kami penyokong mengharapkan transformasi dilakukan oleh KFA dengan pemilihan Exco kali ini diberikan nafas baru yang boleh menjadikan persatuan ini berdaya maju dan lebih profesional tanpa memainkan sentimen politik kepartian,” Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kenari Kedah, Mohammad Adhan Mat Aji