PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah berlaku insiden kekecohan dalam aksi separuh akhir Kejuaraan B-19 AFF 2018 bertemu tuan rumah, Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo yang berakhir dengan kemenangan memihak Malaysia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau telah dimaklumkan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Abdul Ghani Hassan selaku pengurus pasukan B-19 kebangsaan yang berada di Surabaya, Indonesia bahawa terdapat penyokong Indonesia membaling botol dan batu dari tempat duduk penonton ke arah pemain B-19 negara selepas tamat perlawanan iaitu ketika mereka hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan.

Namun, menurutnya tiada sebarang kecederaan dialami pemain negara dan insiden berjaya dikawal oleh pihak berkuasa Indonesia.

"Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan pasukan B-19 kebangsaan keluar lewat hampir sejam untuk pulang ke hotel penginapan. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya juga dikawal oleh pihak berkuasa dan tiada sebarang kecederaan dialami oleh para pemain dan pegawai pasukan B-19 kebangsaan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Susulan insiden itu, Hamidin telah menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono bagi mendapatkan penjelasan dan beliau telah berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan ketika menjalani latihan pada hari ini dan juga ketika di hotel penginapan.

"Joko Driyono sebagai mewakili PSSI turut meminta maaf di atas insiden yang tidak diingini itu.

"Bagi pihak saya dan FAM, kami akan menunggu laporan daripada Match Commissioner (MC) dan pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya berhubung insiden ini," katanya lagi.

Tambah Hamidin, pihaknya juga telah menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi memaklumkan  dan menjelaskan insiden yang berlaku ini.