MAJLIS Sukan Negara (MSN) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam menjamin masa depan pemain bola sepak muda pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2016 di sini.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Sharpawi Ismail serta Pengarah Kanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Safirul Azli Abu Bakar.

Ahmad Sharpawi yang ditemui pemberita selepas majlis yang berlangsung di Dewan Agong Tunku Canselor UiTM di sini berkata, MoU itu merupakan satu kesinambungan kepada usaha dalam membentuk 20,000 pemain di bawah PPBN menjadi seorang pemain yang dilengkapi dengan ilmu pendidikan.

Katanya, pemain muda di bawah PPBN akan diberikan peluang menyambung kerjaya sebagai pemain bola sepak di samping mendapat pendidikan bagi menjamin masa depan sekiranya mereka bersara satu hari nanti.

"Kita jadikan UiTM sebagai satu platform kesinambungan karier pemain bola sepak di bawah PPBN yang meliputi semua aspek termasuk dari sudut karier pemain itu sendiri dan juga dalam bidang pendidikan.

"Kita tidak hanya mahu membentuk mereka menjadi seorang pemain bola sepak yang hebat, tetapi kita juga mahu menyediakan dari aspek kebajikan dalam bidang pendidikan supaya dapat menjamin masa depan mereka nanti," katanya.

Beliau turut menjelaskan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menilai pemain yang benar-benar layak untuk diserapkan dalam UiTM agar tidak menghadapi masalah yang seterusnya memadam masa depan pemain tersebut.

"Satu proses pemilihan akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang akan ditubuhkan bersama-sama UiTM untuk meneliti dari segi proses pemilihan pemain.

"Sudah pasti perlu ada asas yang kukuh dalam pendidikan untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke UiTM supaya mereka tidak akan menghadapi masalah dalam bidang pengajian kemudian hari," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan diumumkan Sabtu ini, Ahmad Sharpawi berkata MSN akan terus komited dalam memberikan kerjasama sebagaimana yang telah dilakukan sebelum ini.

"Tahniah kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim walaupun belum diumumkan secara sah, diharap FAM di bawah kepimpinan baginda akan dapat memberikan sokongan dan kerjasama yang terbaik dalam memastikan segala program pembangunan bola sepak negara akan dapat diperkasakan lagi," katanya.

Sementara itu, pada majlis yang diadakan setiap tahun bagi menghargai jasa atlet universiti tersebut, pemain badminton profesional negara Zulfadli Zulkifli dan atlet boling padang Noorazlina Zakaria masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati 2016.

Zulfadli dan Noorazlina membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai RM1,000 setiap seorang. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MAJLIS Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) membantah keputusan Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan tiga sukan teras pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak, tahun depan.
  • MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah diarahkan untuk membantu tiga sukan yang telah digugurkan daripada senarai sukan teras bagi membolehkan badan induk persatuan terlibat merangka program pembangunan yang lebih mantap di bawah kelolaan masing-masing.
  • MAJLIS Sukan Negara (MSN) mahu semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang tohmahan susulan isu pengguguran sepak takraw, angkat berat dan taekwondo daripada senarai sukan teras.
  • KEPUTUSAN Majlis Sukan Negara (MSN) mengugurkan angkat berat antara tiga sukan yang tidak dipertandingkan di Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak tidak memberi kesan kepada penganjuran Kejohanan Angkat Berat Langkawi Hydrogel 2017 yang membuka tirai semalam di Sandy Beach Resort, dekat sini.
  • KESILAPAN pemanah Myanmar pada set pertama acara final compound berpasukan campuran bukan bermakna Malaysia mendapat kemenangan mudah pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.