$entry.content.caption.value
KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan ujian mengejut yang berterusan ke atas semua atlet di bawahnya bagi memastikan kesemua mereka bebas daripada menggunakan dadah sebagai jalan mudah mendapat tenaga tambahan yang diperlukan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong berkata, pihaknya memandang berat masalah penggunaan dadah dalam sukan kerana ia akan menggelapkan masa depan atlet itu sendiri.
Katanya, walaupun penggunaan dadah dalam sukan masih belum di peringkat kritikal, namun MSN tetap memandang masalah ini sebagai serius.
"Kita tidak ambil mudah perkara ini, kerjasama berterusan dengan Institut Sukan Negara (ISN) akan dijalankan bagi memastikan atlet bebas daripada bahan itu.
"MSN dan ISN juga akan melakukan pemeriksaan mengejut termasuklah ujian air kencing kepada mereka secara rawak. Mungkin kita akan fokus kepada mereka yang terlibat dengan pertandingan besar dalam masa terdekat," katanya.
Sebelum itu, beliau bersama Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengadakan pertemuan dengan atlet Malaysia yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di KD Sri Gombak, semalam.
Menurutnya, MSN amat risau apabila atlet mencari jalan mudah untuk mengecap kejayaan sehinggalah menggunakan dadah yang sudah tentu akan menggelapkan masa depan mereka.
"Amat bahaya kerana dadah ini mudah didapati mudah didapati di pasaran, mereka perlu perlu berhati-hati kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi penyebab walaupun bukan dilakukan atlet sendiri," katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, tentera laut tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan pegawai dan anggotanya yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam sukan.
"Ternyata ia adalah salah, kenapa perlu dilakukan. Sebagai atlet mereka sepatutnya mesti berdisiplin untuk mengecap kejayaan, bukan jalan pintas.
"Dadah akan merosakkan karier, nama negara dan perkhidmatan mereka," katanya.
Bagaimanapun, beliau sentiasa memberikan galakan kepada mana-mana pegawai dan anggota yang bergiat aktif dalam sukan bagi menaikkan nama tentera laut dan Malaysia.
Menurutnya, dalam Sukan SEA XXVI lalu, pegawai dan anggota TLDM telah menyumbang 21 pingat secara keseluruhannya di mana sembilan daripadanya adalah pingat emas dengan 44 penyertaan.
Antara atlet yang hadir adalah penembak negara yang layak ke Sukan Olimpik, London, Leftenan Nur Suryani Mohd Taibi; pelari 400 meter berpagar, Leftenan Noraseela Khalid dan Lanskar Kanan 1, Roslinda Samsu (lompat bergalah).






