MAJLIS Sukan Negeri (MSN) Perak merancang memperkenalkan serta mempromosi ragbi ke peringkat akar umbi.

Pegawai sukannya, Zahrul Annuar Usaili berkata, usaha berkenaan dirancang berikutan sambutan baik diterima daripada murid sekolah rendah pada klinik sukan berkenaan sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Kinta.

Justeru menurutnya, usaha berkenaan akan diteruskan secara berkala selepas ini dengan kerjasama daripada Kesatuan Ragbi Perak dan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

“Sebenarnya program ini adalah kesinambungan daripada program pembangunan ragbi Malaysia dan mirip kepada program pembangunan sukan bola sepak.

“Namun pendekatan kita mungkin sedikit berbeza kerana kita memberikan penekanan kepada konsep asas bagi sukan ragbi dan juga fun ragbi,” katanya kepada Sinar Harian.

Zahrul Annuar berkata demikian bagi mengulas program klinik sukan ragbi di Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, sempena Program Permukiman Menteri Besar, baru-baru ini.

Difahamkan seramai 200 murid berusia 10 hingga 12 tahun dari 10 sekolah rendah di sekitar Dun Sungai Rapat menyertai klinik berkenaan.

Hadir sama pada program berkenaan adalah Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia yang juga Exco Kerajaan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Sempena klinik berkenaan, murid-murid sekolah itu turut menerima asuhan daripada tenaga pengajar daripada jurulatih Kesatuan Ragbi Malaysia.

Sementara itu, Zahrul Annuar bangga kerana program berkenaan mendapat sambutan yang agak baik daripada murid sekolah di sekitar Dun Sungai Rapat.

Malah menurutnya apa yang lebih membanggakan adalah penyertaan daripada kalangan murid perempuan.

“Sambutan yang diterima agak baik dengan penyertaan daripada murid sekolah rendah termasuk murid perempuan.

“Program ini akan diteruskan secara berkala dan bakal mendapat kerjasama Kesatuan Ragbi Perak

dan juga Kesatuan Ragbi Malaysia,” katanya lagi.