KEPUTUSAN 4-0 diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika aksi Piala FA menentang UiTM FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin, sudah cukup untuk memberi keceriaan buat pengendalinya, Benjamin Mora.

Lebih manis, kemenangan tersebut menjamin slot suku akhir buat skuad Harimau Selatan sekali gus berpeluang mempertahankan kejuaraan yang diraih mereka pada musim lalu.

Menurut Mora, meskipun menghadapi kesukaran ketika babak-babak awal permainan, namun beliau berpuas hati memandangkan pasukannya berjaya bangkit dan menguasai perlawanan sehingga wisel penamat.

“Kami semua telah mengetahui lawan merupakan antara pasukan terbaik dalam Liga Perdana. Malah pada perlawanan ini juga, mereka berjaya membuktikannya dengan mengesan kelemahan yang ada di dalam pasukan saya terlebih dahulu.

“Mereka juga berjaya mematikan kemampuan pemain baik yang kami ada seperti Safiq Rahim dan Gabriel Guerra, malah turut menyusun percaturan strategi mereka.

“Bagaimanapun kami berjaya mengenal pasti dan mengatasi masalah tersebut dengan lebih awal, sekali gus memperoleh semula 60 ke 70 peratus penguasaan sehingga tamatnya perlawanan,” katanya.

Beliau turut memuji kekentalan dipamerkan Marcos Antonio yang tenang mengemudi barisan pertahanan JDT.

“Marcos adalah pemain yang menakjubkan dan saya nampak dia merupakan salah seorang pemain pertahanan terbaik yang ada di dalam liga,” katanya.

Mora berkata, selain mendapatkan kemenangan, objektif utama pasukan yang perlu diberi perhatian adalah memastikan kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik sebelum menjelang aksi Piala AFC pada 13 Mac ini.

“Fokus utama kami adalah untuk buat yang terbaik dan mendapatkan kemenangan dalam setiap perlawanan tetapi kami juga harus berhati-hati untuk memastikan kesemua pemain berada di tahap terbaik kerana kita masih dalam saingan AFC.

“Namun saya gembira dan bangga dengan pencapaian pasukan kerana memastikan keputusan kosong di pihak kami.

"Apa pun kami akan bersiap sedia untuk ke peringkat suku akhir ini walau sesiapa pun lawan kami dan kami akan tetap bermain seperti beraksi di final,” katanya.

JDT dijangka berdepan laluan sukar apabila diundi bertemu Pahang di pusingan suku akhir Piala FA.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat persiapan awal dalam usaha meraih lebih banyak kejayaan dalam Liga Malaysia musim depan, dengan mendapatkan khidmat dua pemain muda – Adam Nor Azlin dari Selangor dan Mohamed Syamer Kutty Abba dari Pulau Pinang.
  • PEMAIN sayap lincah, Azammudin Mohd Akil mengesahkan beliau tiada lagi dalam senarai pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.
  • KELAB bola sepak dan pemenang Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memberikan duit hadiah kemenangan kejohanan tersebut kepada mangsa banjir Pulau Pinang.
  • KEJAYAAN pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang trofi Piala Malaysia di negeri ini setelah sekian lama begitu dinantikan penyokong tegar pasukan berkenaan.
  • PERTAHANAN Johor Darul Ta'zim (JDT) Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak mengakui kecewa apabila tidak dapat beraksi 90 minit pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 yang menyaksikan JDT melakar kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan, Kedah di Stadium Shah Alam, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.