JURULATIH skuad ragbi tujuh sebelah negara, Mohd Saizul Hafifi Mohd Nor optimis pemainnya mampu mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan awal Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan.

Beliau menjelaskan dua kemenangan pertama pada pusingan awal akan mencerahkan peluang Malaysia untuk layak ke pusingan seterusnya.

Malaysia berdepan tugas sukar selepas diundi berdepan juara bertahan Jepun, pemenang pingat perak edisi 2002, Taiwan dan tuan rumah Indonesia dalam Kumpulan B.

“Saya nampak undian itu agak seimbang untuk kita memandangkan ranking paling tinggi dalam kumpulan adalah Jepun manakala Taiwan dan Indonesia pula berada di bawah kita.

“Sasaran saya adalah mesti menang dua perlawanan awal untuk layak ke suku akhir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidifitri Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, hari ini.

Mohd Saizul Hafifi menegaskan walaupun Jepun merupakan pasukan pilihan dalam Kumpulan B, beliau menuntut pemainnya untuk memberikan saingan sengit kepada skuad Matahari Terbit itu yang merupakan juara bertahan Sukan Asia sejak edisi 2006 di Doha, Qatar.

“Saya sendiri lihat prestasi semasa pemain kita agak baik dan kita akan cuba beri persembahan yang terbaik pada pusingan awal.

“Bagi saya, kejohanan jemputan di Sapporo, Jepun, awal bulan depan merupakan medan terbaik untuk saya mengukur kekuatan pasukan Jepun dan Taiwan,” jelas Mohd Saizul Hafifi.

Beliau memaklumkan akan meminta KRM untuk mengatur satu aksi persahabatan sama ada dengan Sri Lanka atau Hong Kong sebelum menyertai Sukan Asia nanti.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara ragbi Sukan Asia adalah kedudukan kelima pada edisi 2010 di Guangzhou, China. - Bernama