$entry.content.caption.value
BUAT kali ke-14, Nestle Bhd menerusi minuman berkhasiatnya, Milo terus setia menjadi rakan kongsi bagi kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 bermula pada 24 Februari hingga 4 Mac depan.
Pengurus Pemasaran Sukan Nestle-Milo, Ng Ping Loong berkata, pihaknya gembira kerana turut serta dalam memeriahkan LTdL dan sentiasa menyokong penuh semua aktiviti sukan khusus kepada generasi muda.
“Milo amat sinonim dengan kanak-kanak dan orang dewasa. Apabila kami melibatkan diri dalam LTdL, ia sekurang-kurangnya dapat menaikkan semangat anak-anak muda seluruh pelosok negara.
“Mereka boleh lihat aksi pelumba bertaraf antarabangsa depan mata sambil berkongsi keseronokan dengan pelbagai aktiviti sukan disediakan Milo sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya pada majlis tajaan Milo di Pusat Akuatik Bukit Jalil, semalam.
Menurut Ping Loong, peminat berpeluang mendapatkan cenderamata dan beberapa contoh produk sepanjang konvoi di kawasan perlumbaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, selain perlumbaan, peminat boleh melihat acara sampingan iaitu ‘LTdL Cyclefest’ yang diadakan di kawasan penamat.






