LIONEL Messi menjadi inspirasi Barcelona untuk membalas dendam ke atas Juventus dalam kempen Liga Juara-Juara apabila meraih kemenangan bergaya 3-0 di Nou Camp, awal pagi semalam.

Messi mempamerkan aksi cemerlang dan berada pada tahap terbaik dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D dengan menjaringkan dua gol sebelum melakukan umpanan untuk Ivan Rakitic meledakkan gol.

Kemenangan itu meletakkan Barca di tangga teratas Kumpulan D di depan Sporting Lisbon yang menang 3-2 di Olympiakos.

Menewaskan pasukan yang menyingkirkan Barcelona dalam suku akhir 2015 adalah sesuatu yang diingini oleh pengendalinya, Ernesto Valverde.

“Masih terdapat banyak perkara yang harus dilakukan tetapi ini merupakan kemenangan yang sangat penting.

"Ia sangat penting untuk memenangi perlawanan ini bagi menambat semula hati penyokong pasukan kami," katanya yang turut memuji persembahan memukau Messi.

“Tiada siapa yang dapat melihat peluang itu kecuali Messi, dia memiliki kelebihan yang tiada tandingan.

“Dia salah seorang pemain terbaik dalam sejarah kelab ini. Dia juga seorang yang memahami taktikal permainan," ujarnya lagi.