PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menepis kritikan peminat yang mendakwa pengadil membuat keputusan kurang tepat dalam tiga perlawanan Liga Super, baru-baru ini.

Antara insiden yang masih menjadi bualan peminat ialah layangan kad merah membabitkan pemain Kedah, Rizal Ghazali ketika aksi menentang T-Team di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Perlawanan berkenaan menyaksikan Kedah dibelasah 5-0 sekali gus melebur rekod tanpa kalah pasukan itu, musim ini.

Bekas pengadil Piala Dunia itu berkata, keputusan pengadil mengarahkan pertahanan Lang Merah keluar padang adalah tepat selari dengan kesalahan yang dilakukan pemain tersebut.

“Terdapat dua kesalahan yang berlaku melibatkan kedua-dua pemain pada satu tempoh masa yang sama iaitu pemain T-Team melakukan kesalahan reckless tackle (terjahan melulu) dan dilayangkan kad kuning.

“Pemain Kedah diberikan kad merah kerana kesalahan berkelakuan ganas, apabila beliau bertindak memukul pemain lawan,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, pengadil sudah tentu perlu melayangkan kad merah jika sekiranya cabaran dengan kaki (kasut bola berstud) mengenai tepat ke bahagian kaki pemain Kedah.

Namun beliau berkata, insiden berkenaan menunjukkan terjahan yang dilakukan oleh pemain T-Team tidak seperti yang dimaksudkan, ianya sama ada tersasar atau hanya mengenai sebahagian kecil sahaja.

“Tindakan pengadil adalah tepat apabila memberikan kad merah kepada pemain Kedah (kesalahan berkelakuan ganas) dan kad kuning kepada pemain T-Team disebabkan kesalahan reckless yang dilakukan sewaktu melakukan cabaran terhadap pemain lawan,” katanya.

Mengulas lanjut kontroversi layangan kad merah kepada pemain Kelantan, Mohammad Qayyum ketika bertemu JDT pada hari sama, Subkhiddin berkata, keputusan pengadil Md Nazmi Nasaruddin atas empat sebab.

Menurutnya, pengadil membuat keputusan berdasarkan situasi dikenali sebagai Dogso iaitu jarak antara kesalahan dan gol, corak keseluruhan permainan, kemungkinan mengawal atau merampas kawalan bola dan kedudukan serta jumlah pertahanan.

“Dalam insiden tersebut jelas pemain Kelantan bertindak menarik baju dan menggagalkan pergerakan pemain JDT (kesalahan yang perlu dihukum dengan sepakan percuma).

“Lebih malang lagi jika kesalahan sama ada memegang menarik atau menolak dilakukan di dalam kawasan penalti, yang mana sudah tentu sepakan penalti dan kad merah akan dikuatkuasakan," katanya.

Sementara itu, Subkhiddin menjelaskan pengadil tidak melakukan kesalahan semasa mengadili perlawanan Perak dan T-Team pada 8 April lalu yang menyaksikan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Perak pada minit-minit akhir perlawanan.

"Pengadil seperti yang dapat dilihat dari awal telah berusaha untuk menempatkan dirinya pada posisi yang terbaik dan telah berjaya pada posisi dan masa yang tepat untuk membuat keputusan.

“Semasa bola di udara, pemain Perak telah bersedia (ball-dropping zone) untuk mendapatkan kawalan terhadap bola tersebut.

“Malangnya tangan pemain T-Team telah menyebabkan bola bertukar arah dari jangkaan pemain Perak,” jelasnya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.