[DIKEMASKINI] KONTINJEN Melaka mengungguli hari pertama Sukma ke-19 apabila meraih tiga emas dan satu perak dalam acara wushu yang berlangsung di Kolej Matrikulasi Gopeng, hari ini.

Emas pertama negeri berkenaan diperoleh melalui atlet dalam acara jianshu lelaki, Si Shin Peng yang mengumpul 9.48 mata mengalahkan atlet Sarawak, Elvic Bong yang meraih perak dengan 9.40 mata dan atlet Terengganu, Mohamad Afiq Danial Firdaus Chua memperoleh gangsa dengan 9.38 mata.

Kecemerlangan kem wushu Melaka diteruskan lagi apabila atlet mereka dalam acara jianshu wanita, Tammy Tan berjaya merangkul emas dengan 9.44 mata mengalahkan atlet Sarawak, Stephanie Ngu 9.40 mata untuk perak dan atlet Perak Wong Kai Xian  dengan 9.34 mata.

Emas ketiga Melaka diperoleh melalui Tan Cheong Wan yang menjuarai acara gunshu lelaki dengan 9.58 mata mengalahkan atlet Pulau Pinang, Muhammad Danish Aizad Firdaus Chua memenangi perak dengan 9.45 mata dan Clement Thian dari Sarawak menghadiahkan gangsa dengan 9.43 mata.