MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari mahu agar kontinjen Selangor mengekalkan kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke 19 yang berlangsung dari 11 hingga 22 September ini.

Menerusi catatan di laman Twitter beliau, Amirudin turut berkesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen negeri itu yang terlibat dalam temasya berkenaan.

"Ayuh pasukan Selangor, kita kekalkan kejuaraan Sukma, selamat maju jaya!,” katanya.

Terdahulu, Amirudin turut berkesempatan menghadiri Majlis Upacara Perasmian Sukma ke 19 di Ipoh, Perak, malam tadi.

Bagi penganjuran Sukma kali ini, kontinjen Selangor menghantar 679 atlet, jurulatih dan pengurus pasukan.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Sukma Selangor, Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh berkata, pihaknya menyasarkan kutipan lebih 50 pingat emas dalam usaha untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada kali ini.

Memetik laporan Selangor kini, beliau berkata, sukan renang dan terjun dijangka bakal menjadi penyumbang terbesar pingat buat pasukan Selangor dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 emas.

"Pada Sukma lalu di Sarawak, acara berkenaan menyumbang 22 emas, lebih daripada jangkaan sasaran.

"Antara sukan lain dijangka memberi sumbangan emas yang banyak untuk Selangor adalah olahraga, menembak dan tenpin boling,” katanya.