KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada tiga lagi pelumba basikal dari negeri itu yang terpilih mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik London bulan depan.

Beliau berkata pemilihan Mohd Adiq Husainie Othman dari Kemaman dan Amir Mustafa Rusli dari Dungun adalah kerana kedua-dua mereka boleh berlumba di kawasan berbukit dan jalan rata.

"Mereka berdua boleh beraksi di kawasan berbukit dan tanah (jalan) rata sebab itu mereka berdua menjadi pilihan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Pemilihan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia memutuskan Mohd Adiq Husainie dan Amir Mustafa akan menggalas cabaran negara dalam acara lebuh raya pada Sukan Olimpik London.

Seorang lagi pelumba dari Terengganu, Mohd Zamri Salleh turut dinamakan sebagai pelumba simpanan ke temasya terbesar dunia itu.

Ahmad berkata kerajaan negeri akan memberi insentif sebanyak RM10,000 seorang kepada ketiga-tiga pelumba berkenaan sebagai duit poket dan ibu atau bapa mereka akan dibiayai sepenuhnya bagi mengiringi anak masing-masing sepanjang temasya itu nanti.

Sebelum ini, lima atlet Terengganu telah disenaraikan untuk mewakili negara ke temasya itu iaitu atlet lumba basikal trek, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa.

Selain itu, dua atlet memanah iaitu Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim serta Mohd Azwar Bakar @ Ibrahim untuk acara ping pong pada Sukan Paralimpik London.- Bernama