Mat Zan

MESKIPUN sedikit terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pengendali skuad Bawah 23 Negara, Ong Kim Swee, Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris tetap bersikap profesional dan mahu ada kerjasama yang terjalin di antara pasukan negara dan negeri.

 
Tidak mahu terus memanjangkan isu tersebut, Mat Zan bersikap optimis kerana baginya pasukan negeri juga turut memainkan peranan dalam melahirkan generasi bakat muda dan bukan hanya sekadar menagih khidmat barisan pemain yang dibentuk serta digilap di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) seperti yang didakwa.
 
“Sesiapa sahaja pasti akan berkecil hati dengan kenyataan tersebut. Mungkin ramai yang tidak sedar, persatuan bola sepak negerilah yang mula menggilap bakat pemain muda sejak mereka berusia 10 tahun lagi. Kemudian barulah SSBJ mengambil alih tugas tersebut apabila pemain ditawarkan ke sekolah berkenaan.
 
“Bagi saya, siapa yang menggilap mahupun siapa yang mula menggilap bakat pemain tidak penting. Sebaliknya sebagai individu yang berada dalam arena sukan sama, kita sepatutnya saling bekerjasama untuk memastikan sukan bola sepak negara mahu selangkah ke hadapan bukan hanya di peringkat kebangsaan malah di peringkat negeri juga,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Tidak pernah mendesak pemain untuk beraksi bersama pasukan negeri, Mat Zan percaya pemain lebih mengetahui apa yang terbaik untuk mereka apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Harimau Muda.
 
Terdahulu, Ong Kim Swee menganggap situasi perpindahan pemain dari pasukan negara ke pasukan negeri sebagai sistem pelik yang hanya berlaku di Malaysia.
 
Melihat kehilangan lima pemain yang bakal berusia 23 tahun pada 2012 nanti sebagai pembuka peluang kepada pemain muda untuk lebih beraksi, Kim Swee turut mengi­ngatkan pemain yang kekal supaya tidak mengharapkan gaji yang lumayan kerana apa yang ditawarkan oleh Harimau Muda adalah pendedahan dan juga latihan yang berkualiti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.