PERSATUAN Bolasepak Pulau Pinang (FAP) perlu menimbang serius kedudukan Ketua Jurulatih, Ashley Westwood yang masih gagal membantu pasukan untuk keluar dari tangga tercorot Liga Super 2017 selepas lapan perlawanan liga.

Mencatatkan keputusan dua seri dan enam tewas menyaksikan Pulau Pinang muncul pasukan tunggal yang belum mencatatkan sebarang kemenangan setakat ini.

Tercicir dari saingan Piala FA 2017 selepas tewas 4-1 kepada Negeri Sembilan pada pusingan ketiga Sabtu lalu, peluang Harimau Kumbang dalam saingan Piala Malaysia 2017 juga semakin kabur selepas baki pusingan pertama Liga Super hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi.

Bekas penyerang Pulau Pinang, Abdul Gaffar Hoosen berkata, beliau secara peribadi melihat FAP perlu mempertimbangkan pilihan alternatif untuk mendapatkan khidmat jurulatih baharu terutamanya jurulatih tempatan.

Menurutnya, masa buat Ashley sudahpun tamat selepas pengendali itu mendapat kepercayaan persatuan kali kedua bagi melakukan perubahan namun masih gagal memperolehi sebarang keputusan positif.

"Jika mendapatkan khidmat jurulatih tempatan mungkin FAP dapat menjimatkan kos namun penyokong pun kena ingat bahawa masa juga diperlukan untuk kembali memulihkan kembali semangat, taktikal dan formasi pasukan.

Kita juga kena akui bahawa kualiti pemain import yang ada dalam pasukan sekarang tidak banyak membantu malah ada di kalangan mereka kualitinya setaraf pemain tempatan, FAP perlu manfaatkan pintu perpindahan kedua dengan mendapatkan pemain yang betul-betul berkualiti dan mampu membantu pasukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Abdul Gaffar berkata, pemain-pemain muda Pulau Pinang memerlukan pemain tempatan senior mahupun import yang mampu menjadi rujukan ataupun membantu mereka sentiasa yakin untuk terus berjuang di atas padang selama 90 minit.

Menurutnya, ciri-ciri itu tidak ada di dalam pasukan itu buat masa ini seperti yang dimiliki beberapa pasukan besar lain seperti Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kedah mempunyai pemain tempatan berkualiti seperti Baddrol Bakhtiar manakala importnya, Liridon Krasniqi yang menjadi ikon kepada pemain-pemain muda dan ini menyaksikan keyakinan mereka meningkat.

Begitu juga JDT mempunyai ketua pasukan seperti Safiq Rahim yang bersungguh-sungguh di atas padang malah sentiasa mengingatkan rakan-rakannya sepanjang perlawanan berlangsung," katanya.

Semalam, Presiden FAP, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya akan bermesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara termasuk status Ketua Jurulatih, Ashley Westwood dan pemain pasukan Harimau Kumbang dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, badan induk bolasepak Pulau Pinang mengambil serius kekalahan yang dihadapi pasukan dan keadaan semasa pasukan Pulau Pinang itu sendiri.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.