PENGENDALI Selangor, P Maniam berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan pertahan import barunya, Willian Pacheco dalam aksi persahabatan bertemu Terengganu FC II, kelmarin.

Maniam berkata, bekas tonggak pertahanan Persija Jakarta itu, berjaya menunjukkan sifat kepimpinan di benteng pertahanan dan berkomunikasi dengan baik bersama pemain lain walaupun baru dua hari menjalani latihan bersama pasukan.

"Saya berpuas hati dengan persembahan Pacheco yang mana, dia berjaya menunjukkan sifat kepimpinan dan berkomunikasi dengan pemain lain sewaktu perlawanan. Satu pujian untuknya.

"Untuk berkata dia lebih baik daripada pemain import kami sebelum ini (Ugo Ukah), saya rasa tidak adil. Kedua-duanya ada kekuatan yang tersendiri.

"Lagi pun ini bukan soal siapa lebih bagus dari siapa, tapi apa yang penting ialah pemain yang kami datangkan itu berjaya mengawal benteng pertahanan yang menjadi antara kelemahan kami sejak musim lalu," katanya.

Sementara itu, Pacheco yang ditemu bual selepas perlawanan memilih untuk tidak mendabik dada dengan pujian yang diberikan oleh ketua jurulatihnya itu.

"Saya ke sini kerana saya tahu Liga Malaysia adalah antara liga yang terbaik di Asia Tenggara. Jadi, soal pujian kalau boleh saya tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Tugas saya adalah terus memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan dalam setiap perlawanan," katanya.