PEMAIN sayap Terengganu FC (TFC), Malik Mat Aris semakin ghairah membantu pasukannya berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Larkin, Sabtu ini selepas meledak gol tunggal di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, baru-baru ini.

Pemain kelahiran Pahang itu, berkata dia bertekad menampilkan permainan terbaik bagi membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir sekali gus menamatkan penantian Terengganu untuk membawa pulang Piala Malaysia ke negeri itu selepas 16 tahun.

"Saya harap Sabtu ini saya dapat berikan yang terbaik dan semua rakan pasukan juga akan bekerja keras dan bermain bermati-matian untuk pastikan kita mara ke perlawanan akhir.

"Jika dapat jaringkan gol lagi, ia satu bonus bagi saya, tetapi apa lebih penting semangat dan kejayaan bagi pasukan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad TFC di Stadium Sukan Negeri, Gong Badak, di sini hari ini.

Pada perlawanan separuh akhir pertama 6 Oktober lalu, Malik muncul wira TFC selepas menjaringkan gol tunggal menewaskan JDT 1-0.

Mengulas lanjut, Malik yang dikenali dengan corak permainan pantas dan lincah, berkata  pertemuan separuh akhir kedua itu pastinya lebih menarik dan mendebarkan kerana kedua-dua pasukan sudah tentu akan beraksi bermati-matian untuk mara ke pentas final.

Beliau yakin dengan perancangan strategi dan taktikal diterapkan ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim, TFC mampu mengatasi lawan seperti dibuktikan pada aksi separuh akhir pertama, baru-baru ini.

"Selain menunaikan impian rakyat Terengganu, kemenangan ini juga penting bagi melengkapkan pencapaian peribadi saya selepas dua kali menjulang Piala Malaysia ketika bersama Pahang pada 2013 dan 2014," katanya. - Bernama