MALAYSIAN Tigers membuktikan mereka unggul dalam Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia apabila berjaya muncul juara sekali gus melayakkan diri ke pusingan separuh akhir yang akan diadakan Julai ini.

Namun, keputusan ini sebenarnya sudah boleh dijangka apatah lagi Malaysia merupakan antara pasukan pilihan dalam liga kali ini.

Secara keseluruhan, pencapaian skuad negara ini boleh dibanggakan selain ia persediaan terbaik bagi menghadapi pusingan separuh akhir dan cuba layak ke Piala Dunia 2018.

Nyata, usaha berterusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semakin menampakkan hasil dalam usaha membawa kembali skuad negara ke peringkat lebih baik.

Kekal rekod tanpa kalah

Keupayaan Malaysian Tigers perlu digeruni apatah lagi berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan liga tersebut.

Malah, ketajaman jentera serangan pasukan juga perlu dipuji dengan beberapa pemain menunjukkan belang dan mampu meledak dengan baik.

Nama seperti Shahril Saabah, Tengku Ahmad Tajuddin dan Nik Muhammad Aiman Nik Rosemi menunjukkan bahawa negara tidak ketandusan penyerang yang baik.

Namun, latihan dan pendedahan lebih jitu perlu diberikan kerana ranking penjaring terbanyak dalam liga pusingan kedua menunjukkan pemain Malaysia, Shahril Saabah berada di tempat keempat dengan hanya tujuh gol.

Ambil pengajaran

Bagaimanapun, skuad kendalian Stephen van Huizen perlu mengambil pengajaran daripada perlawanan akhir kelmarin yang menyaksikan mereka terpaksa berhempas pulas dan bangkit daripada ketinggalan untuk menang ke atas China.

Kelekaan melepaskan gol di awal babak perlawanan nyata memberikan masalah besar kepada skuad negara untuk mencari dua gol bagi menyamakan kedudukan.

Mujur Shahril Saabah dan Najmi Farizal berjaya menyamakan kedudukan selain penjaga gol Hafizuddin Othman berjaya menafikan pukulan penalti keempat untuk kemenangan skuad negara.

Justeru, pasukan negara seharusnya tidak leka apatah lagi menyedari berhadapan dengan lawan yang kurang hebat sehingga akhirnya kemungkinan akan memakan diri.

Bagi van Huizen, beliau mengakui perkara itu, namun melihat semangat juang anak buahnya yang tinggi memastikan kemenangan milik skuad negara.

“Faktor kemenangan kami pada hari ini ialah gol pukulan sudut penalti daripada Shahril dan saya yakin selepas itu kami akan dapat gol penyamaan. Saya lega kerana ia berhasil.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini dan berjaya layak ke peringkat separuh akhir pada Julai ini,” katanya.

Cabaran Piala Sultan Azlan Shah

Cabaran terdekat skuad negara kini ialah saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh yang akan bermula pada 29 April sehingga 9 Mei ini.

Ia dilihat sebagai cabaran besar skuad negara membuktikan sudah bersedia untuk menghadapi pentas separuh akhir Liga Hoki Dunia.

Malah, peminat hoki negara sudah pastinya merindui Malaysian Tigers untuk menjulang trofi Sultan Azlan Shah setelah sekian lama gagal direalisasikan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.