MALAYSIA menyasarkan untuk mara ke final acara bola sepak Palsi Serebrum (CP) pada Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 dari 17 hingga 23 September ini.

Jurulatih skuad bola sepak CP negara, Asnan Mohd Zuki sasaran berkenaan bertujuan memastikan skuad kendaliannya layak beraksi secara automatik pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia selain Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Palsi Serebrum di India pada 2019.

"Saya lihat saingan kita pada kali ini adalah Thailand berdasarkan prestasi mereka dalam beberapa edisi sebelum ini namun kita turut menganalisis permainan pasukan lain seperti Myanmar dan Singapura," katanya pada sidang media Program Kita Juara di sini, hari ini.

Beliau berkata pemilihan pemain telah diadakan di seluruh negara sejak Januari tahun ini yang menyaksikan  18 pemain terpilih menjalani latihan fasa akhir sejak Julai lepas.

Asnan memaklumkan pemilihan pemain dibuat berdasarkan keperluan pertandingan iaitu setiap pasukan harus mempunyai pemain dalam setiap kategori berbeza iaitu CP 5-8.

"Kita mengekalkan lima muka lama manakala selebihnya adalah pemain baharu. Latihan intensif diadakan di tiga tempat iaitu Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan; Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Kuchai Lama dan juga di Universiti Malaya sejak Julai lepas," kata Asnan.

Dalam pada itu, penjaring terbaik skuad CP negara pada edisi 2015 di Singapura, Mohammad Sobri Ghazali bertekad memberikan persembahan terbaik bersama rakan sepasukan di laman sendiri.

"Saya yakin menerusi kerjasama dan semangat berpasukan di antara pemain baharu dan lama akan membantu skuad negara meraih keputusan positif nanti," katanya.

Enam negara mengambil bahagian pada Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 iaitu Singapura, Kemboja, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Malaysia selaku tuan rumah. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.