KONFERDERASI Bola Sepak Asia (AFC) akhirnya mengubah venue perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara di gelanggang berkecuali selepas ia ditunda buat kali ketiga sebelum ini berikutan situasi semasa di Pyongyang yang tidak selamat.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata tarikh bagi dua aksi kumpulan B itu ditetapkan pada 10 November ini dengan Korea Utara terlebih dahulu tampil selaku tuan rumah diikuti Malaysia tiga hari kemudian.

"Perlawanan ini sudah tertangguh sebanyak tiga kali kerana ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara selain larangan oleh Kerajaan Malaysia ke atas warganya berkunjung ke negara berkenaan.

"Bagi menjaga dan menjamin keadilan, diputuskan bahawa kedua-dua aksi akan dilangsungkan di venue berkecuali dengan aksi pertama menyaksikan Korea Utara sebagai tuan rumah dan Malaysia pada aksi kedua.

"Kami gembira kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Persatuan Bolasepak Korea Utara bersetuju dengan keputusan ini demi semangat kesukanan yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertemuan antara Malaysia menentang Korea Utara di Stadium Kim Il-sung di ibu negara Pyongyang terpaksa ditangguh sebanyak tiga kali berikutan jadual asal perlawanan pada 28 Mac ditunda kepada 8 Jun lalu selepas ketegangan hubungan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 13 Februari lalu.

Berikutan ketegangan yang berlanjutan itu, aksi tersebut sekali lagi ditunda ke 5 Oktober ini, sebelum perlawanan menentang Hong Kong pada 10 Oktober.

Bagaimanapun aksi tersebut turut dibatalkan kerana Kementerian Luar mengeluarkan larangan perjalanan kepada seluruh rakyat negara ini ke Korea Utara sehingga diberitahu kelak pada 28 September lalu.

Larangan itu dibuat ekoran keadaan tegang di Semenanjung Korea dan berkaitan dengan kebimbangan pelancaran ujian peluru berpandu oleh negara tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMPEN Malaysia pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 berakhir dengan keputusan memalukan apabila tumpas menerusi jaringan sama 1-4 kepada ​​​Korea Utara yang beraksi lebih mantap di Stadium i-mobile, di sini malam ini.
  • MALAYSIA akan menentang Korea Utara dalam perlawanan kelayakan bagi Kumpulan B Piala Asia 2019 akan berlangsung di Thailand pada 10 dan 13 November.
  • SKUAD Harimau Malaya menerima suntikan semangat menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong, esok, apabila dijanjikan imbuhan RM30,000 seandainya berjaya menewaskan pasukan tuan rumah itu.
  • SELEPAS hanya mengutip satu mata dari dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 dalam Kumpulan B, kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim mengharapkan keputusan positif mampu dijelmakan pada aksi menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong, 10 Oktober ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.