SKUAD bola jaring negara gagal layak ke Piala Dunia 2019 selepas tewas kepada Singapura 51-43 di separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Asia di Hub Sukan Singapura di sini, hari ini.

Juara Kejohanan Asia 2016 itu perlu sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir pada kejohanan yang menjadi tiket untuk melayakkan diri ke Piala Dunia di Liverpool, England tahun hadapan.

Kekalahan tersebut merupakan kekalahan kedua Malaysia kepada Singapura selepas tewas dalam pertemuan di peringkat kumpulan Khamis lepas.

Perlawanan akhir akan menyaksikan Singapura bertemu Sri Langka yang menewaskan Hongkong 55-46 dalam satu lagi perlawanan peringkat separuh akhir.

Malaysia akan bertemu Hong Kong bagi menentukan tempat ketiga di kejohanan yang bermula sejak 1 September.

Terdahulu pada pusingan kedua, Malaysia mengalahkan Hong Kong 53-43 tetapi tewas dua kali kepada Sri Lanka dan Singapura.

Pada pusingan awal, 12 negara Asia dibahagikan kepada empat kumpulan dengan Malaysia dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Maldives di mana, Malaysia mengalahkan Jepun tetapi tewas kepada Maldives. - Bernama