MALAYSIA bermula langkah kanan  dengan  menewaskan Afrika Selatan 3-0  dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D di Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia di Dalian, China, hari ini.

Pada aksi hari ini, bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern memberikan mata pertama buat negara selepas menundukkan Milnay Louw  11-6, 11-6 dan 11-8  sebelum juara perseorangan Sukan Asia 2018, Datuk Nicol David mengalahkan Alexandra Fulle,  11-4, 11-7 dan 11-8 untuk mengukuhkan kedudukan pasukan, menurut laman sesawang  kejohanan,  www.wsfwomensteams.com.

Juara kebangsaan, S.Sivasangari memastikan kemenangan Malaysia dengan menewaskan Elani Landman, 11-6, 13-11 dan 11-3.

Malaysia akan bertemu Hong Kong dalam perlawanan kedua pusingan awal, esok.

Dalam perlawanan lain Kumpulan D, Hong Kong mengalahkan Switzerland 3-0.

Enam belas pasukan menyertai kejohanan dwitahunan dunia itu kali ini. – Bernama