MALAYSIA meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Jaring Asia 2018 selepas mencipta kebangkitan pada suku terakhir untuk menundukkan Hong Kong 52-46 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Singapura, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Hub Sukan Singapura, Hong Kong mendahului 17-13 pada suku pertama, 25-24 (suku kedua), 36-35 (suku ketiga) sebelum skuad negara menguasai aksi suku terakhir untuk mengakhiri saingan dengan kelebihan enam mata.

Percaturan ketua jurulatih negara, Choo Kon Lee membawa masuk tiga pemain gantian – penyerang, An Najwa Azizan, Pow Mei Foong (sayap) dan pemain pertahanan, Nur Lailatulladhwiyah Che Yahaya ternyata membuahkan hasil apabila berjaya merapatkan defisit sebelum mencipta kejayaan.

Kejayaan tersebut merupakan pencapaian sama bagi kali keenam selepas edisi 1989 di India, 2001 dan 2012 (Sri Lanka), 2009 (Malaysia dan 2014 di Singapura.

Pada edisi lepas pada 2016, Malaysia muncul juara.

Dalam pada itu, Sri Lanka pula mengekalkan rekod tanpa kalah kali ini dengan merangkul kejuaraan selepas menewaskan Singapura 69-50 pada aksi final.

Sementara itu, Choo, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Jaring Singapura, memuji anak buahnya atas persembahan cemerlang pada aksi penentuan itu.

"Mereka bermain bersungguh-sungguh untuk menebus kekalahan kepada Singapura di peringkat separuh akhir,”katanya.  –Bernama