YUSRI Che Lah menuntut pemain Kelantan meneruskan momentum cemerlang apabila bertemu Sabah dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Pemangku jurulatih The Red Warriors itu berkata, persembahan bertenaga anak buahnya ketika menewaskan Kedah dalam peringkat kumpulan perlu dikekalkan bagi memastikan skuad Jelius Ating pulang kecewa, pada fasa kalah mati itu.   

“Pemain perlu kekalkan rentak yang sama atau tunjukkan aksi lebih baik lagi. Mereka tidak boleh terbuai dengan kejayaan lalu (mengalahkan Kedah) kerana setiap sejarah dilakar hanya diingati dua atau tiga hari, kemudian penyokong mahukan kejayaan lain.

“Perkara ini memang saya sentiasa fikir kerana bila Kelantan dijadualkan bermain di tempat sendiri terlebih dahulu, kita kena mencari bekalan gol sebanyak mungkin untuk di bawa ke Likas,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Di sebalik misi memburu kemenangan, pengendali berusia 42 tahun itu bagaimanapun menegaskan dia tidak memberi tekanan kepada pemain untuk memburu gol awal sebaliknya mengutamakan keputusan positif, pada pertemuan itu.

“Semua orang mungkin memfokuskan perkara sama tetapi bagi saya biarlah kemenangan multak menjadi keutamaan pasukan. Itu yang pasti, saya tak fikirkan soal jaringan kerana pemain sendiri tahu apa yang patut mereka lakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusri memberitahu dia mengkaji corak permainan Sabah yang membuat penampilan semula dalam pertandingan piala paling berprestij itu setelah enam tahun tersisih.

“Saya melihat aksi Sabah dalam tiga perlawanan terakhir dan mereka bermain cukup bagus di tempat lawan termasuk ketika mengikat seri 1-1 dengan Pahang.

“Sabah begitu berdaya saing dan saya perlu menilai kekuatan mereka terutama di bahagian serangan selain mencari kelemahan untuk dimanfaatkan pemain kita,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Yusri mengesahkan khidmat pemain pertahanan kanan, Ahmad Haziq Ahmad Puad diketepikan susulan penggantungan satu perlawanan akibat layangan kad kuning kedua, ketika berdepan Kedah.  

“Sedikit sebanyak ada kepincangan di benteng pertahanan namun saya yakin pemain gantian yang akan diturunkan nanti mampu melaksanakan tugas dengan baik di posisi bek kanan ini,” katanya.