MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap pihak yang terlibat dengan 'gentlemen's agreement' berhubung peralihan kuasa dalam kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mematuhi perjanjian itu.

Beliau berkata individu yang terlibat dalam perjanjian itu perlu jujur dan menghormati perkara yang dipersetujui, walaupun ia bukan perjanjian rasmi atau bertulis.

"Ia bukan perjanjian rasmi atau bertulis, tetapi perjanjian yang dibuat secara lisan antara beberapa individu dan saya rasa mereka yang terlibat itu mesti menghormatinya.

"Sekiranya kita rasa kita menghormati perjanjian itu, maka lebih baik kita mematuhi perjanjian tersebut. Bila perjanjian itu bukan perjanjian bertulis, kita tidak dapat memaksa atau menguatkuasakan perjanjian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian kerjasama penajaan di antara Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan syarikat pembungkusan plastik, SCGM Berhad di kementeriannya di sini, hari ini.  

Bernama sebelum ini melaporkan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015, membuat perjanjian dengan dua pemimpin tertinggi persatuan tersebut.

Menurut perjanjian itu, timbalan presiden Tan Sri Al Amin Abd Majid akan memangku jawatan tersebut sehingga tamat Sukan Olimpik Rio 2016 atau berakhirnya penggal jawatankuasa sedia ada.

Selepas itu, beliau perlu memberi laluan kepada seorang lagi timbalan presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagi mengisi jawatan presiden.

Bagaimanapun, Al Amin yang turut berminat menduduki kerusi nombor satu badan induk itu, menafikan beliau terbabit dengan ‘gentlemen’s agreement’ berkenaan.

Pemilihan BAM dijangka berlangsung pada mesyuarat agung tahunan (AGM) akhir bulan depan.

Sementara itu, menggulas mengenai kejayaan atlet lompat tinggi wanita negara, Yap Sean Yee yang berjaya memperbaiki rekod kebangsaan miliknya, Khairy berkata kejayaan itu memberi petanda yang baik buat Sukan SEA Kuala Lumpur dan sukan olahraga.

"Kita mencatat antara prestasi yang paling buruk di Sukan SEA Singapura 2015. Ramai yang ingin melihat kebangkitan olahraga Malaysia...Saya berharap ianya bermula di Sukan SEA nanti," katanya.

Atlet pelapis kebangsaan itu mencatat lompatan 1.81 meter pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur (MSSKL) di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa semalam untuk mengatasi rekod terdahulu 1.79m yang dilakarkan pada Kejohanan Terbuka Pahang 2015. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEKAS pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim mengingatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seupaya tidak ego dan menerima pandangan yang dilontarkan bekas pemain dan pemerhati yang telah lama mengikuti perkembangan sukan badminton di negara ini.
  • BEKAS Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar berkata, pemain yang terlibat dengan dakwaan atur perlawanan perlu akur jika Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup.
  • PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kemungkinan besar melakukan perubahan pada barisan skuad lelaki dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap bagi menghadapi saingan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand, pada Mei depan.
  • PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) berkemungkinan merombak senarai skuad yang akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia, di Alor Setar, yang juga Kelayakan Piala Thomas 2018.
  • PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin Malaysia mampu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei ini walaupun pasukan negara kini menghuni ranking kesembilan dunia.