KUALA ROMPIN - Selepas berjaya merangkul emas pada Sukan Komanwel Gold Coast (Gold Coast 2018) baru-baru ini, Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, 24, nekad mahu terus mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Anak kelahiran Sungai Puteri itu meletakkan sasaran itu agar dapat bertanding di temasya berprestij berkenaan dan berentap dengan atlet bertaraf dunia lain.

“Saya dapat mengumpul mata di Sukan Komanwel Gold Goast dan selepas ini saya fokus kepada Sukan Asia di Indonesia pada Ogos dan Kejohanan Dunia di Thailand, November depan.

“Dua kejohanan itu adalah peluang untuk saya mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik, kejayaan di Sukan Komanwel sudah tentu memberi semangat bagi mencapai sasaran itu,” katanya ketika ditemui media.

Atas kejayaannya itu, Muhammad Azroy Hazalwafie menerima insentif RM10,000 daripada Majlis Sukan Pahang (MSP) yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam satu majlis di Rompin Beach Resort.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad bersama ibunya, Rohana Ahmad, 46, menunjukkan pingat emas dimenangi dalam temasya itu pada 5 April lalu.

Turut menerima insentif MSP adalah pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Goast 2018, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, 23, yang memperoleh RM5,000 di atas kejayaannya itu.

Pada 5 April lalu, Muhammad Azroy Hazalwafie melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara meraih pingat emas dalam temasya berkenaan apabila mengungguli kategori 56 kilogram (kg).

Lebih bermakna, dia turut memecahkan rekod dua rekod Sukan Komanwel - kedua-duanya milik Amirul Hamizan Ibrahim dalam acara snatch dan keseluruhan.

Dia melakukan angkatan 117kg dalam acara snatch mengatasi rekod 116kg milik Amirul pada Sukan Komanwel New Delhi 2010, 144kg dalam clean and jerk dan 261kg dalam acara keseluruhan yang memecahkan rekod Amirul di Manchester 2002.

Sementara itu, Muhammad Azroy Hazalwafie berterima kasih kepada kerajaan negeri dan MSP kerana memberikan insentif berkenaan yang dianggap sebagai pembakar semangat kepadanya untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

“Saya akan menggunakan wang ini untuk membantu keluarga dan mengadakan doa kesyukuran,” katanya.