"PEMILIHAN Perlis sebagai destinasi permulaan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 memberikan impak yang positif khususnya dalam industri perlancongan," kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

“Kejohanan ini juga memberi peluang kepada anak muda mendekati perlumbaan berprestij tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan perserta perlumbaan LTdL 2018 peringkat pertama di Kangar, di sini, hari ini.

Perlumbaan peringkat pertama bermula di Kangar dan akan berakhir di Kulim melibatkan jarak 147.9km yang melibatkan tiga zon pecutan di Kerpan, Alor Setar dan Guar Cempedak selain satu zon pendakian di Bukit Selambau.

Dalam pada itu, seramai 131 pelumba mewakili 22 pasukan berstatus Jelajah Professional Dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan bakal memberi saingan sengit kepada LTdL 2018 yang berlangsung bermula hari ini sehingga 25 Mac dengan jarak keseluruhan perlumbaan 1,341km melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia. - Bernama