TRIO berbisa Liverpool, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino terus membuktikan kemampuan apabila membantu pasukan meraih kemenangan 5-2 ke atas As Roma  pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Anfield, sebentar tadi.

Dua gol jaringan Salah pada separuh masa pertama dan dua gol dari Firmino serta satu dari Mane memberikan kelebihan kepada tuan rumah untuk aksi timbal balik ditempat lawan 3 Mei nanti.

Turun dengan barisan yang sama ketika menentang Manchester City dalam saingan suku akhir sebelum ini, anak didik Jurgen Klopp mempamerkan aksi kurang meyakinkan pada 15 minit pertama dengan lebih banyak bertahan dan memerhatikan bola di kaki pemain lawan.

Memasuki minit ke 20, The Reds mula mempamerkan corak permainan sebenar apabila berjaya mengimbangi rentak permainan lawan yang lebih gemar melakukan hantaran pendek dan mengawal bahagian tengah.

Liverpool seharusnya berada dihadapan pada minit ke 28 namun Mane mensia-siakan peluang terbabit apabila menolak tinggi bola melepasi palang gol ketika hanya berdepan dengan penjaga gawang AS Roma, Alisson Becker.

Selang dua minit kemudian, Mane sekali lagi melepaskan peluang untuk menjadi penjaring apabila mensia-siakan hantaran lintang dari Salah apabila melakukan rembatan liar melepasi palang gol pelawat.

Gol pertama yang dicari Liverpool akhirnya menjelma apabila Salah mempamerkan bisanya dengan melakukan sepakan lencong dari luar kotak penalti yang sama sekali menewaskan Becker pada minit ke 36.

Gol tersebut nyata menyemarakkan semangat pemain tuan rumah terus agresif melancarkan serangan melalui tandukan Dejan Lovren yang terkena palang pada minit ke 38 dan Firmino dua minit kemudian.

Salah terus membuktikan kemampuannya apabila bijak memperdayakan Becker buat kali kedua pada penghujung separuh masa pertama untuk memastikan tuan rumah melangkah ke bilik persalinan dengan keputusan 2-0 mengatasi lawan.

Memasuki babak kedua, penyokong The reds terus bergembira apabila Mane menebus kesilapannya pada minit ke 55 apabila mudah menolak masuk hantaran Salah untuk gol ketiga pasukan.

Tuan rumah terus selesa dihadapan apabila Firmino turut mencetak nama selaku penjaring dengan gol pada minit 61 dan 69 walaupun pelawat cuba bangkit memburu gol.

Tindakan Liverpool yang mengeluarkan Salah dan memasukkan Danny Ings pada minit ke 75 nyata memberikan kelegaan kepada pelawat apabila tuan rumah mula memperlahankan serangan yang memberi ruang kepada AS Roma untuk kembali mendapatkan rentak dan menyusun gerakan memburu gol.

Tempoh 10 minit terakhir nyata mecemaskan buat penyokong dan pemain Liverpool apabila serangan bertali arus mula dijelmakan pemain AS Roma dalam usaha memburu gol dan mereka berjaya memperolehi dua gol  hasil jaringan Edin Dzeko pada minit ke 81 sebelum pemain gantian Diego Perotti menyempuranakan sepakan penalti selang empat minit kemudian.

Pelawat terus mengasak untuk memburu gol ketiga namun sudah terlewat dengan keputusan kekal 5-2 memihak Liverpool.