PENGENDALI UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail mengakui terkejut dengan kemenangan besar 4-0 pasukannya ketika bertemu Terengganu, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, pemain import kelahiran Korea Selatan, Do Dong-hyun, membuka tirai gol pada minit ke-33 dan Akanni Sunday menambah derita Terengganu apabila dua gol lagi pada penghujung babak pertama dan awal babak kedua.

Semangat The Lion Troops terus membara dan berhasil menambah jaringan keempat menerusi pemain gantian, Anwarul Hafiz Ahmad pada masa kecederaan.

Wan Mustaffa berkata, kemenangan tersebut menunjukkan pasukannya bukan lagi lubuk mata pihak lawan dan pasukan belasahan seperti musim lalu.

Justeru, beliau mengharapkan dengan kemenangan ini, pemain dapat terus mengekalkan momentum dalam perlawanan seterusnya.

“Kita hanya perlukan tiga mata sahaja lagi untuk melayakkan diri bersaing dalam saingan Piala Malaysia.

“Apa pun saya sangat bangga dengan permainan yang ditunjukkan oleh anak buah saya malam ini (kelmarin) dengan mencatat kemenangan besar ke atas sebuah pasukan besar dan berpengalaman.

“Saya percaya, kemenangan ini hasil daripada semangat kekeluargaan yang utuh di kalangan pemain, staf kejurulatihan dan pengurusan,” katanya.

UiTM FC selepas ini akan melayan kunjungan PKNP FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada 25 April nanti.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.