KEJAYAAN pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang pada Kejohanan Berbasikal Dunia di Hong Kong, semalam, nyata sesuatu yang membanggakan terutamanya bagi pihak keluarganya di Ipoh, Perak.

Mengulas lanjut, isteri Azizulhasni, Athiah llyana Abdul Samad berkata, dirinya begitu berbangga dengan kejayaan berkenaan yang disifatkannya satu pencapaian besar sepanjang karier suaminya itu dalam sukan berbasikal.

 Malah menurut Athiah Ilyana, dia turut kagum kerana hasrat Azizulhasni yang sentiasa berazam untuk memakai jersi pelangi (rainbow jersey), yang menjadi idaman setiap pelumba basikal dunia itu akhirnya berjaya direalisasikannya pada perlumbaan berkenaan.

 "Semalam saya memang tunggu, bila keluarga beritahu ada siaran langsung. Bila saya lihat cara dia berkayuh, saya dah dapat rasa dia akan menang.

"Bila sah dia menang, kami bersorak. Sebab fikirkan ini yang dia mahukan. Dia berkorban banyak, sebagai atlet, penuntut. Lepas berlatih, dia belajar, bangun pagi pergi gim. Memang kejayaan dia ini menjadi inspirasi buat saya," katanya pada sidang media, petang tadi.

Semalam, Azizulhasni mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan penantian Malaysia merangkul pingat emas pertama negara acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azizulhasni rangkul pingat emas pertama]

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' menghadapi tentangan sengit daripada lima pelumba lain sebelum mencecah garisan penamat untuk meraih pingat emas dalam perlumbaan yang diadakan di Hong Kong Velodrome Park.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.