KELETIHAN  dan ketiadaan beberapa tonggak utama adalah antara beberapa faktor menyebabkan skuad Tok Gajah sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC pada saingan Liga Super semalam.

Pengendalinya  Dollah Salleh, mengakui persembahan pasukan Pahang begitu berbeza jika dibandingkan dengan corak permainan semasa menentang Selangor, yang membolehkan pasukannya dinobatkan sebagai juara Piala FA pada Sabtu lalu.

"Pada separuh masa pertama, pergerakan pasukan boleh dikatakan serba tidak menjadi dan mereka cuba bangkit pada separuh masa kedua, bagaimanapun gagal mencipta banyak peluang.

"Saya menyedari rata-rata pemain keletihan di samping ketiadaan beberapa tonggak utama....sukar untuk mengerahkan mereka dalam situasi itu tapi ia sepatutnya tidak dijadikan alasan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Dollah bagaimanapun optimis pasukannya akan bangkit pada perlawanan bertemu Perak pada Sabtu ini, dan beliau tekad  memastikan anak didiknya kembali fokus untuk memenangi empat baki perlawanan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

"Kita mahu fokus dan tidak terlalu memikirkan untuk menghuni tangga kedua liga. Pemain tidak boleh bersikap sambil lewa walaupun kita tahu bukan kejuaraan yang cuba dicapai dalam saingan Liga Super," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNP FC Abu Bakar Fadzim menyifatkan keputusan seri tersebut adalah baik buat mereka selaku pasukan yang memiliki pelbagai kekurangan.

"Kita terhad dari segi keupayaan pemain import dan dibarisi pemain muda kurang berpengalaman berbanding Pahang yang cukup lengkap dan memiliki momentum selepas menjuarai Piala FA.

"Saya terpaksa mengguna pakai segala yang ada dengan menyusun strategi terbaik bagi mengelak kekalahan ketika bermain di tempat lawan dan alhamdulillah, kita berjaya mengutip satu mata berharga," katanya. - Bernama